Flick tuntut pemain tampil sebagai pemimpin

Flick tuntut pemain tampil sebagai pemimpin

Barcelona: Pengendali Barcelona, Hansi Flick mengakui pasukannya masih kekurangan pemain berkarisma di atas padang untuk merealisasikan impian menjuarai Liga Juara-Juara.

Kenyataan itu dibuat selepas Barcelona tersingkir di suku akhir kepada Atletico Madrid, sekali gus menyaksikan impian Eropah mereka terkubur buat musim kedua berturut-turut.

Flick berkata, kehadiran pemain berpengaruh amat penting terutama dalam perlawanan besar.

“Ia bukan alasan, tetapi pada fasa penting musim seperti Mac dan April, sangat penting untuk semua pemain cergas.

“Ketika menentang Atletico, kami kehilangan Frenkie de Jong dan Raphinha.

“Musim lalu kami ada Inigo Martinez yang berperanan sebagai pemimpin.

“Kami perlukan pemain seperti ini, yang berani bersuara, memimpin dan menunjukkan arah dalam perlawanan besar,” katanya.

Menurut Flick, skuad Barcelona ketika ini dibarisi ramai pemain muda hasil sistem akademi kelab dan masih dalam proses pembelajaran.

“Mereka masih muda dan perlu belajar daripada setiap kekalahan.

“Saya percaya kami mampu capai tahap itu, kami ada pasukan hebat untuk masa depan,” katanya.

Walaupun kecewa di Eropah, Barcelona tetap berada di landasan terbaik dalam saingan domestik apabila mendahului Real Madrid dengan kelebihan sembilan mata, berbaki tujuh perlawanan.

Flick turut memberi bayangan keputusan tepat dalam jendela perpindahan akan menjadi kunci bagi memperkukuh pasukan, namun enggan mengulas lanjut mengenai sasaran pemain baharu.

Beliau juga berharap kontraknya disambung, sambil menegaskan ini mungkin menjadi tugas terakhir dalam karier kejurulatihannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top