ISTANBUL – Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar pada Selasa menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya mempertimbangkan untuk melanjutkan gencatan senjata selama 14 hari melepasi tarikh tamatnya pada Rabu serta “memberi peluang kepada dialog dan diplomasi”.
Dar membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan Kuasa Usaha AS di Islamabad Natalie Baker, lapor Anadolu Ajansi, memetik kenyataan Kementerian Luar.
Kedua-dua pihak membincangkan perkembangan terkini di rantau itu, dengan Dar menegaskan “penekanan berterusan” Pakistan terhadap dialog dan diplomasi sebagai satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk menangani cabaran serta mencapai keamanan dan kestabilan serantau yang berkekalan.
Beliau turut menekankan keperluan penglibatan antara Washington dan Teheran, sambil menyeru lanjutan tempoh gencatan senjata itu.
Baker menyampaikan “penghargaan” Washington terhadap peranan Pakistan yang konstruktif dan positif dalam mempromosikan keamanan serantau serta memudahkan dialog, menurut kenyataan itu.
Permusuhan di rantau itu memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari.
Sebagai tindak balas, Teheran melancarkan serangan balas ke atas Israel dan negara lain di rantau itu yang menempatkan aset AS.
Pakistan menjadi tuan rumah rundingan antara AS dan Iran pada 11 dan 12 April selepas berjaya menjadi perantara gencatan senjata selama 14 hari pada 8 April. Gencatan senjata itu dijadual tamat pada petang Rabu, waktu Washington.
Usaha untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan sedang dijalankan, walaupun ketidakpastian masih wujud.
Presiden AS, Donald Trump berkata, adalah “amat tidak mungkin” beliau akan melanjutkan gencatan senjata itu, sambil menjelaskan Selat Hormuz akan kekal disekat sehingga satu perjanjian dicapai. – Bernama/Anadolu



