Metz: Remaja Perancis, Tahirys Dos Santos menyifatkan kontrak profesional pertamanya bersama Metz sebagai detik paling bermakna dalam hidup selepas terselamat daripada tragedi kebakaran di pusat peranginan ski, awal tahun ini.
Pemain pertahanan berusia 19 tahun itu sebelum ini melalui detik mencemaskan apabila terbabit dalam kebakaran di Crans-Montana yang meragut 41 nyawa pada Januari lalu.
Dos Santos yang sudah menyertai akademi Metz sejak usia lapan tahun akhirnya kembali beraksi awal bulan ini bersama skuad simpanan menentang FC Balagne.
Dia kini menandatangani kontrak profesional sehingga 2027.
“Detik ini lebih bermakna selepas beberapa bulan sukar yang saya lalui di hospital.
“Pengalaman ini menjadikan saya lebih kuat dan mengajar saya supaya tidak pernah berputus asa.
“Saya juga ingin memberikan sokongan kepada semua yang masih berjuang. Jangan pernah hilang harapan,” katanya.
Kisah Dos Santos menjadi simbol ketabahan, bangkit daripada tragedi untuk mengejar impian sebagai pemain profesional.
Dalam masa sama, Metz kini bergelut dalam saingan Ligue 1 apabila berada di tangga tercorot dengan hanya 15 mata daripada 30 perlawanan, ketinggalan 10 mata daripada zon play-off penyingkiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




