Masa depan Howe bersama Newcastle diputuskan pada akhir musim

Masa depan Howe bersama Newcastle diputuskan pada akhir musim

London: Masa depan Eddie Howe bersama Newcastle United tidak akan diputuskan sehingga penghujung musim.

Walaupun tewas 1-2 kepada AFC Bournemouth pada Sabtu, difahamkan masa depan Howe masih akan dibincangkan selepas kempen berakhir dan tiada tindakan segera akan diambil.

Newcastle ketika ini tidak mempunyai perancangan untuk menukar ketua jurulatih, namun penilaian akhir musim akan tetap dilakukan seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Newcastle, David Hopkinson berkata selepas perlawanan menentang Sunderland, belum tiba masanya untuk membincangkan masa depan Howe dan difahamkan pendirian itu masih kekal.

“Saya tidak mempunyai pendirian mengenai masa depannya,” kata Hopkinson selepas kekalahan dalam derbi Tyne-Wear.

“Eddie adalah pengurus kami. Saya menjangkakan kami akan mengharungi baki musim ini dengan baik dan kami akan berbincang mengenai masa depan apabila tiba masanya.

“Buat masa ini, kami fokus kepada saingan musim ini.”

Newcastle sudah tewas dua lagi perlawanan sejak aksi menentang Sunderland iaitu kepada Crystal Palace dan Bournemouth, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Howe apabila sebahagian penyokong mula tidak berpuas hati.

The Magpies kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL), yang bakal menjadi kedudukan terendah mereka sejak tersingkir pada penghujung musim 2015/16.

Mereka kini ketinggalan 13 mata di belakang kelompok Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan enam mata dari slot ke pertandingan Eropah lain.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Newcastle, Alan Shearer tampil mempertahankan Howe selepas kekalahan kepada Bournemouth, dengan mendakwa pemain seolah-olah telah mengkhianati pengurus mereka sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau turut meramalkan kemerosotan prestasi itu akhirnya akan menyebabkan Howe meninggalkan St James’ Park.

“Adakah anda menontonnya?” kata Shearer mengenai perlawanan menentang Bournemouth dalam podcast The Rest is Football.

“Saya nak kata saya bernasib baik, tetapi saya duduk dan menontonnya dan pemain bermain teruk.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top