London: Seorang bekas finalis The X Factor, baru-baru ini, dituduh cuba membunuh seorang pempengaruh media sosial dengan melanggarnya menggunakan kereta di pusat bandar ini.
Gabrielle Carrington, 29, didakwa cuba membunuh Klausia Zakrzewska di luar kelab malam Inca di Argyll Street, Soho, pada 4.30 pagi Ahad lalu, lapor portal Independent.
Dia dituduh memandu secara berbahaya dengan bacaan alkoholnya hampir dua kali ganda melebihi had dibenarkan, menyebabkan kecederaan kepada dua individu lain iaitu seorang wanita ketiga dan seorang pengawal keselamatan. Mangsa dilanggar oleh kereta Mercedes miliknya.
Di Mahkamah Majistret Westminster pada Selasa, Carrington, berpakaian kelabu, berdiri dengan tangan di pinggang ketika hakim daerah Nina Tempia memerintahkan dia ditahan reman.
Carrington yang mempunyai lebih 365,000 pengikut di Instagram menggunakan nama RielleUK pernah mara ke peringkat akhir siaran langsung The X Factor pada 2013, sebagai salah seorang daripada tiga anggota kumpulan Miss Dynamix.
Zakrzewska, yang berusia 30-an, ialah pempengaruh TikTok dan Instagram yang dikenali dalam talian sebagai Klaudiaglam.
Hakim mengarahkan Carrington ditahan di penjara sehingga perbicaraan seterusnya di Mahkamah Old Bailey pada 19 Mei depan.
Carrington yang digambarkan di mahkamah sebagai pempengaruh media sosial yang kerap berkunjung ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuat isyarat hati dengan tangannya ke arah rakan dan ahli keluarga di galeri awam ketika dia dibawa keluar dari kandang tertuduh, untuk kembali ke lokap.
Ahli keluarga dan rakan Zakrzewska turut hadir di mahkamah.
Rakaman kejadian yang tular dalam talian menunjukkan seorang wanita masuk ke dalam kereta hitam sebelum kenderaan itu memecut ke hadapan dan melanggar Zakrzewska sehingga mangsa terperosok di bawah kenderaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




