
Donald Trump – Foto: Agensi
SANAA – Tindakan tidak menentu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, disifatkan sebagai petunjuk jelas bahawa Washington kini berdepan kebuntuan susulan keteguhan Iran menolak tekanan yang dikenakan, menurut seorang pegawai kanan gerakan Ansarullah di Yaman.
Timbalan Ketua Pihak Berkuasa Media Ansarullah, Nasr al-Din Amer berkata, keengganan Iran untuk kembali ke meja rundingan membuktikan negara itu berada di kedudukan lebih kukuh dalam menghadapi tuntutan AS.
“Iran menolak untuk duduk di meja rundingan dan ini jelas menunjukkan mereka memiliki kelebihan,” katanya pada Selasa.
Beliau merujuk kepada keputusan Republik Islam itu yang menolak tawaran AS untuk menyambung semula rundingan dengan Teheran menegaskan sekatan laut yang disifatkan sebagai haram terhadap kapal dan pelabuhan Iran mesti ditarik balik terlebih dahulu sebelum sebarang proses rundingan boleh diteruskan.
Menurut Amer, tindakan tergesa-gesa pegawai kanan AS ke Islamabad walaupun Iran belum bersetuju untuk rundingan baharu turut memperlihatkan tahap kebuntuan yang dihadapi oleh pentadbiran Trump.
“Sebaliknya, kesegeraan pihak Amerika Syarikat ke Islamabad, bahkan sebelum Iran bersetuju dengan pusingan rundingan baharu dan lanjutan gencatan senjata, menunjukkan betapa dalamnya Trump terperangkap dalam kebuntuan,” katanya.
Media AS sebelum ini melaporkan pergerakan pegawai kanan negara itu ke ibu negara Pakistan, Islamabad, meskipun pendirian Iran kekal tegas menolak rundingan.
Dalam perkembangan sama, Trump pada Selasa mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama dua minggu yang sebelum ini diumumkan pada 7 April lalu, susulan tindakan balas tegas Iran terhadap serangan gabungan AS-Israel.
Amer turut menolak dakwaan Trump kononnya wujud perpecahan dalaman dalam Iran berkaitan proses membuat keputusan dengan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar dan hanya bertujuan menyelamatkan kredibiliti Presiden AS yang semakin terhakis.
“Tuduhan itu adalah palsu dan sekadar usaha untuk memulihkan kredibiliti Trump yang telah pun hilang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keputusan tidak seimbang yang dibuat oleh Trump mencerminkan tekanan besar serta situasi sukar yang sedang dihadapi oleh pemimpin tersebut. – Agensi



