hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pernah mencatatkan rekod pemusnahan lebih 4,500 sasaran dalam konflik di Ukraine, sistem dron kamikaze Lancet antara aset penting yang dipamerkan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Dron yang diperkenalkan pada 2016 itu direka khusus untuk melancarkan serangan tepat terhadap sasaran di pelbagai medan merangkumi darat, udara serta laut.
Jurucakap Zala Aero Group berkata, kekuatan utama Lancet terletak pada kemampuannya untuk beroperasi secara mudah alih dengan keberkesanan serangan yang amat tinggi.
“Lancet mempunyai berat maksimum sekitar 12 kilogram (kg) dan boleh dilancarkan dengan mudah menggunakan sistem mudah alih. Ia bukan sekadar dron, tetapi sistem senjata pintar yang mampu melakukan serangan autonomi dalam jarak sehingga 40 kilometer (km).
“Dengan kelajuan maksimum 110 km sejam serta tempoh operasi sekitar 40 minit, dron ini dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui modul NVIDIA Jetson TX2 untuk pengesanan sasaran yang lebih jitu,” katanya ketika ditemui.
Menambah ‘bisa’ pada aset ini, Lancet turut dilengkapi dengan penderia optik serta kepala peledak seberat 45 kg yang mampu menembusi perisai setebal 200 milimeter (mm).
Bagi memastikan ia tidak mudah dipatahkan oleh pihak musuh, teknologi antarabangsa turut diintegrasikan dalam sistem navigasinya.
“Dron ini dilengkapi video dan sistem navigasi serta komunikasi yang mantap. Malah, kami turut melengkapkan modul panduan U-Blox bagi mengekang sebarang gangguan serangan elektronik yang cuba memintas operasinya,” katanya.
Dalam pameran kali ini, tumpuan turut diberikan kepada varian eksport yang dikenali sebagai Lancet-E.
Berbeza dengan model sedia ada yang digunakan tentera Russia (Item 51 dan Item 52), versi eksport ini menawarkan spesifikasi yang lebih mantap untuk pasaran global.
“Untuk varian eksport Lancet-E, kami menawarkan jarak operasi yang jauh lebih luas iaitu antara 70 hingga 80 kilometer.
“Ia turut hadir dengan kualiti video yang lebih stabil serta dilengkapi kamera termal bagi membolehkan misi dilakukan pada waktu malam.
“Varian ini merangkumi tugas peninjauan serta dua versi kamikaze iaitu Item 51-E dan Item 52-E yang menggunakan konfigurasi sayap ‘X-wing’ untuk kestabilan maksimum ketika serangan,” katanya.
Kehadiran teknologi Russia ini di DSA 2026 memberi gambaran jelas mengenai evolusi peperangan moden yang kini lebih bergantung kepada sistem tanpa pemandu dan teknologi AI yang pantas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




