30 peratus pesawah mahu 'berehat', tak mampu tampung kos tanam padi

30 peratus pesawah mahu 'berehat', tak mampu tampung kos tanam padi

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kira-kira 30 peratus pesawah di seluruh negara dijangka tidak dapat memulakan musim tanaman padi baru susulan peningkatan kos yang semakin membebankan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata, situasi itu berpunca akibat tekanan kos operasi terutama membabitkan kenaikan harga diesel.

Katanya, ada juga pesawah yang memilih untuk ‘berehat’ sementara menunggu keadaan pulih selain sebahagian lagi beralih kepada tanaman lain seperti jagung, sayur-sayuran dan kelapa sawit.

“Dalam keseluruhan anggaran 30 peratus ini, ia merangkumi pesawah yang berhenti sementara dan bertukar kepada aktiviti menternak ikan dan golongan yang menanam padi untuk kegunaan sendiri/

“Jika diambil kira keluasan kira-kira 600,000 hektar kawasan sawah di seluruh negara, kesannya memang besar kepada pengeluaran padi,” katanya semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kos operasi yang meningkat mendadak menyebabkan ramai pesawah tidak lagi mampu menanggung perbelanjaan, termasuk penggunaan jentera dan pembelian diesel pada harga pasaran.

Katanya, kos membajak misalnya meningkat sehingga lebih 50 peratus berbanding sebelum ini, sekali gus menekan pendapatan pesawah yang sedia terkesan.

“Bila harga diesel naik turun setiap minggu, pesawah dan pengusaha jentera tidak boleh tetapkan kadar upah yang stabil, ini menyukarkan keseluruhan rantaian pengeluaran padi.

“Keadaan pesawah, pemilik jentera masing-masing tersepit,” katanya.

Mengulas bantuan kerajaan, Abdul Rashid berkata, penambahan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 sehektar masih belum mencukupi untuk menampung kos sebenar di lapangan.

Katanya, bantuan itu tidak menyelesaikan masalah kerana pengusaha jentera masih perlu membeli diesel tanpa subsidi menyebabkan kos terus meningkat dan akhirnya ditanggung pesawah.

“Jadi pihak kami berharap kerajaan memasukkan jentera pertanian padi ke dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan pesawah menikmati harga diesel yang lebih stabil.

“Selain itu kerajaan juga disaran mempertimbangkan kenaikan harga lantai padi kepada RM3,000 per tan metrik sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menjamin kelangsungan pesawah.

“Kalau harga lantai tidak disemak semula, pesawah akan terus berdepan kerugian. Kita perlukan langkah lebih menyeluruh, bukan sekadar insentif jangka pendek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top