
JDT dikenakan denda RM27,700 oleh AFC. FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS
[DIKEMAS KINI] JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dikenakan denda sebanyak AS$7,000 (RM27,700) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan kesalahan dilakukan pasukan itu dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Al Ahli pada Jumaat lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC selepas tujuh kad kuning dilayangkan kepada pasukan itu oleh pengadil perlawanan sepanjang tempoh permainan.
“JDT diarahkan membayar denda sebanyak AS$7,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 53.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC yang dibaca bersama Artikel 3.1 Pekeliling Tatatertib Liga Juara-Juara AFC Elite 2025/26,” kata AFC.
Mengikut laporan perlawanan, seramai tujuh individu termasuk pemain atau pegawai pasukan telah dilayangkan kad atau dikenakan amaran yang secara automatik mencetuskan pelanggaran peraturan di bawah artikel berkaitan.
Dalam pada itu, AFC turut menetapkan bahawa denda tersebut mestilah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan itu dikeluarkan.
Arahan itu selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC yang mewajibkan setiap pasukan mematuhi tempoh pembayaran yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan lanjut.
Dalam perlawanan itu, JDT tidak bernasib baik apabila tewas kepada Al Ahli 1-2 sekali gus menyaksikan impian Harimau Selatan untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian.



