London: Seorang pempengaruh anti-Islam berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini dibenarkan menghadiri satu perhimpunan sayap kanan di sini, dihalang daripada memasuki United Kingdom (UK) oleh setiausaha dalam negeri.
Valentina Gomes yang menggelarkan dirinya sebagai pempengaruh ‘MAGA’ diberikan kebenaran minggu lalu untuk memasuki negara itu melalui kebenaran perjalanan elektronik (ETA) UK, lapor The Guardian.
Beliau dijadualkan berucap pada perhimpunan United Kingdom pada 16 Mei yang dianjurkan oleh Tommy Robinson yang nama sebenarnya ialah Stephen Yaxley-Lennon.
Difahamkan bahawa Shabana Mahmood campur tangan untuk menarik balik kebenaran itu atas alasan kehadiran Gomez tidak memberi manfaat kepada kepentingan awam.
Kerajaan turut memberikan alasan sama ketika menolak permohonan penyanyi rap, Kanye West kini dikenali sebagai Ye untuk memasuki UK awal bulan ini.
Gomez, 26, sebelum ini menghadiri perhimpunan pertama United Kingdom pada September tahun lalu bersama Yaxley-Lennon, dan memberi amaran dari pentas bahawa ‘orang Islam perogol’ sedang ‘mengambil alih’ UK selain menyasarkan anggota polis.
Dianggarkan, lebih 100,000 orang menghadiri acara itu yang dipercayai sebagai perhimpunan sayap kanan terbesar seumpamanya dalam sejarah Britain.
Selain beberapa penceramah ekstremis, acara itu turut menampilkan ucapan secara jarak jauh oleh Elon Musk yang dikritik oleh Downing Street kerana menggunakan bahasa berbahaya dan menghasut.
Mahmood mempunyai kuasa untuk membatalkan kebenaran seseorang untuk memasuki atau tinggal di UK.
Selepas laporan mengenai larangan itu didedahkan, Gomez menulis di platform X bahawa beliau tetap akan datang ke England menaiki bot dan tidak boleh dihalang daripada menyuarakan ‘kebenaran’.
Dalam video yang disertakan, beliau mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap Mahmood.
Sebelum ini, Mahmood berdepan tekanan untuk menghalang kemasukan Gomez ke UK.
© New Straits Times Press (M) Bhd




