am@hmetro.com.my
Putrajaya: Bekalan diesel sebanyak 200 juta liter yang dilaporkan dalam perjalanan ke Australia disahkan bukan milik Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu disahkan oleh Pusat Arahan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Saya ada membaca laporan dari sebuah agensi berita dari Australia yang dimaksudkan 200 juta liter diesel itu membabitkan sejumlah negara, termasuk Brunei dan Malaysia.
“Namun, semakan dengan pihak Pusat Arahan Komunikasi MTEN serta beberapa pihak yang lain, mengesahkan bahawa itu bukan diesel Malaysia, sama seperti dakwaan kes penghantaran diesel ke Filipina (sebelum ini),” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Sebuah agensi antarabangsa melaporkan, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata tambahan 200 juta liter diesel sedang dalam perjalanan ke negara berkenaan.
Memetik laporan News.com.au, bekalan terbabit didakwa datang dari Korea Selatan dan masing-masing dari Brunei serta Malaysia,
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bekalan diesel berkenaan adalah sebahagian daripada kontrak perdagangan pihak Australia dengan syarikat petroleum antarabangsa iaitu British Petroleum (BP).
Katanya, difahamkan Australia mempunyai kontrak perdagangan dengan BP yang mempunyai gudang di perairan Malaysia dan kapal yang akan mengangkut diesel terbabit akan bergerak dari Malaysia.
Ditanya pula mengenai rundingan Petronas untuk membeli minyak daripada Russia, Fahmi berkata, belum ada sebarang perkembangan berkaitan perkara terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




