80 kakitangan, pegawai kanan SPRM buru gelaran 'raja pancing'

80 kakitangan, pegawai kanan SPRM buru gelaran 'raja pancing'

anbia@hmetro.com.my

Hulu Langat: Seramai 80 kakitangan dan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencuba nasib menerusi pertandingan memancing Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) Arena Mancing 2026 di Kak Ngah Sport Fishing, di sini, semalam.

Pertandingan bermula jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu turut disertai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya, selain warga kerja SPRM.

Sepanjang pertandingan, peserta berjaya mendaratkan pelbagai spesies ikan termasuk kerapu naga, siakap, kaci dan jenahak, sekali gus menyemarakkan persaingan bagi merebut hadiah disediakan.

Bagi kategori Terbaik Keseluruhan (individu), Johari Ismail muncul juara selepas berjaya mendaratkan ikan seberat 1.76 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Selain kategori berkenaan, penganjur turut menyediakan kategori Happy Hour (terbuka individu) bagi peserta yang berjaya mendaratkan ikan paling awal dalam tempoh ditetapkan.

Kategori Teka Berat Ikan pula terbuka kepada peserta, jawatankuasa bertugas dan ahli keluarga yang hadir untuk meneka berat ikan ditetapkan penganjur.

Bagi kategori Terbaik Keseluruhan, pertandingan turut menyediakan pengiktirafan kepada peserta VIP membabitkan Johan dan Naib Johan, selain 30 kedudukan pemenang dalam kategori individu.

KSR Arena Mancing 2026 yang berlangsung pada 26 September itu dianjurkan sebagai antara aktiviti sukan dan rekreasi KSR SPRM, selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja SPRM serta keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top