sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke final selepas menewaskan Laos 3-0 pada aksi separuh akhir Piala AFF B-17 yang berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia, hari ini.
Skuad kendalian Shukor Adan tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain Laos, Bounthasak Chandala dilayangkan kad merah pada minit kelima atas kekasaran menyiku pemain Malaysia.
Ahmad Yusuf Nasrullah Ahmad Ramli yang mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan Malaysia 1-0 di depan pada minit ketujuh.
Selang empat minit kemudian, skuad muda negara terus mengukuhkan kedudukan apabila Muhammad Aniq Thaqif Hairulnizam menjaringkan gol kedua pada minit ke-11.
Anak buah Shukor terus mengatur serangan bertali arus dan mengambil kesempatan atas kekurangan seorang pemain lawan untuk mencari gol tambahan, namun beberapa peluang yang terhidang gagal digunakan dengan baik.
Malah, Yusuf Nasrullah berpeluang untuk mencetak jaringan kedua peribadi dalam perlawanan ini tetapi sepakan itu berjaya ditepis penjaga gol Laos, Sankham Thavithong pada penghujung separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Malaysia tidak memperlahankan rentak permainan sebaliknya terus melakukan serangan dan berjaya mendapatkan jaringan ketiga menerusi Muzakif Fitri Muhamad pada minit ke-58 sekali gus menyaksikan Malaysia mendahului 3-0.
Biarpun Laos hanya bermain 10 orang tetapi merrka berjaya mencipta sekurang-kurangnya dua peluang terbaik tetapi berjaya dinafikan barisan pemain negara.
Malaysia cuba menambah jaringan tambahan tetapi kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Untuk aksi final Jumaat nanti, Malaysia akan menanti sama ada Vietnam atau Australia yang turun beraksi malam ini dalam satu lagi aksi separuh akhir. Pemain muda negara berpeluang mengulangi pencapaian 2019 apabila muncul juara pada edisi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




