Kuala Lumpur: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengambil pendirian supaya pilihan raya negeri (PRN) ditangguhkan susulan perkembangan geopolitik semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, pandangan mengenai penangguhan PRN yang dibangkitkan pihak tertentu itu, hanyalah pendapat peribadi dan tidak mewakili parti.
“Itu bukan pendirian UMNO, itu bukan pendirian BN. Itu pendapat peribadi seseorang dan tidak ada endorsement daripada parti.
“Jadi dalam keadaan itu, jangan buat keputusan untuk buat penangguhan dan ini menjadi bahan untuk orang melontarkan peluru kembali kepada kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Better Nation Forum ke-10: Kesan Konflik Amerika Syarikat-Iran ke atas Malaysia di Auditorium Menara Dato’ Onn, di sini, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata BN khususnya UMNO sebagai tunjang gabungan itu, sentiasa bersedia menghadapi PRN pada bila-bila masa.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan supaya PRN Melaka dan Johor yang sepatutnya diadakan tahun ini, ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi susulan krisis geopolitik Asia Barat kembali stabil.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor mengemukakan pendirian peribadinya itu, kerana melihat ketidaktentuan geopolitik semasa memberi tekanan kos sara hidup yang masih dirasai rakyat, termasuk isu harga bahan api dan barangan keperluan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, perkembangan politik semasa turut menyaksikan peningkatan sokongan terhadap UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa, dengan permohonan keahlian baharu secara dalam talian mencecah 10,000 dalam tempoh 48 jam.
Beliau berkata, justeru, perkembangan tersebut mendorong cadangan supaya mekanisme keahlian terus atau direct membership pada peringkat BN diwujudkan dalam waktu terdekat dan perkara ini telah dipersetujui Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
“Kejayaan Rumah Bangsa ini harus diterjemahkan juga untuk BN kerana terdapat ahli profesional, individu dan juga pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan yang mahu bersama bersama-sama dengan BN.
“Kita akan mengusulkan di dalam Dewan Tertinggi BN supaya klausa yang terdapat di dalam Perlembagaan BN yang menyebutkan permohonan untuk menjadi ahli terus atau langsung iaitu direct membership, ini akan dilaksanakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




