Cadangan bangun semula Kampung Bahagia perlu perancangan teliti – PM

Cadangan bangun semula Kampung Bahagia perlu perancangan teliti – PM

am@hmetro.com.my

Sandakan: Perdana Menteri menegaskan sebarang cadangan pembangunan berskala besar perlu dirancang secara teliti dengan mengambil kira keperluan negeri serta strategi pembangunan yang ditetapkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau maklum mengenai cadangan membangunkan semula Kampung Bahagia dengan kemudahan perumahan dan perkara itu sudah dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Itu semua perlu dibincangkan dahulu kerana projek ini agak besar dan memerlukan perancangan yang teliti.

“Saya tidak fikir wajar kita ambil satu pendekatan segera melihat kepada keperluan negeri. Jadi saya minta ada sedikit kesabaran tapi tidak melengahkan projek,” katanya yang ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan mengesyorkan agar penempatan atas air itu dibangunkan semula dengan projek perumahan yang lebih tersusun untuk mengelak kejadian berulang.

Khairul Firdaus dilapor berkata, kerajaan dalam proses mewartakan Kampung Bahagia sebagai perkampungan yang sah membabitkan keluasan kira-kira empat hektar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top