Urus niaga bahan api Malaysia-Filipina bukan G2G, hanya komersial – Akmal Nasrullah

Urus niaga bahan api Malaysia-Filipina bukan G2G, hanya komersial – Akmal Nasrullah

Kuala Lumpur: Malaysia mengesahkan bahawa urus niaga bahan api oleh pihak Filipina merupakan transaksi komersial antara syarikat dan tidak melibatkan sebarang perjanjian di peringkat kerajaan kepada kerajaan (G2G).

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata penjelasan itu dibuat pada pertemuan dua hala secara dalam talian bersama Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina Sharon S. Garin, yang turut membincangkan perkembangan semasa berkaitan penghantaran bahan api berikutan ketidaktentuan pasaran tenaga akibat konflik berterusan di Asia Barat.

“Penjelasan ini penting bagi mengelakkan salah faham, mengekalkan hubungan baik dua hala dan memastikan pemahaman yang jelas dalam kalangan pihak berkepentingan, khususnya dalam situasi pasaran tenaga global yang mencabar.

“Kedua‑dua negara turut bersetuju mengenai kepentingan komunikasi secara berterusan dalam menangani isu keselamatan tenaga,” katanya menerusi hantaran di platform X, Facebook dan Instagram hari ini.

Beliau turut menegaskan mengenai komitmen Malaysia untuk terus menyokong semangat kerjasama ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top