am@hmetro.com.my
Melaka: Polis Kontinjen Melaka sedang mengesan individu yang terbabit dalam kegiatan menyalahgunakan nama polis untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penyebaran mesej yang mendakwa penganjuran program membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Menurutnya, mesej itu memaklumkan mengenai “Kursus Pemantapan Integriti dan Pemanduan Asas (SOP) Cawangan Trafik dan Pengangkutan IPK Melaka Siri 2/2026” yang kononnya akan diadakan di Maktab Teknik PDRM Cheras, Kuala Lumpur bermula pada hari ini hingga 24 April 2026.
“Semakan mendapati tiada sebarang kursus atau program seperti yang didakwa dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Melaka.
“Mesej berkenaan turut memaparkan gambar anggota beruniform, lokasi di IPK Melaka serta menyertakan butiran akaun bank bagi tujuan kutipan sumbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis memandang serius penyalahgunaan nama jabatan itu kerana boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan imej pasukan keselamatan berkenaan.
Katanya, tindakan berkenaan dipercayai mempunyai unsur penipuan bagi mendapatkan keuntungan secara tidak sah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, selain sebat dan denda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




