am@metro.com.my
Pontian: Panik diarah menjalani saringan air kencing, seorang pemandu kereta bertindak nekad memecut laju kenderaannya sebaik ditahan dalam ‘Op Pematuhan’ di Jalan Kampung Sungai Karang di sini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Hadzrat Abd Khan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi semalam membabitkan lelaki tempatan berusia 37 tahun yang memandu kereta model Honda City.
Menurutnya, suspek yang dalam perjalanan dari arah Jambatan Sungai Pulai menghala ke Parit Jerman mulanya dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Dia enggan memberikan kerjasama ketika mahu diperiksa sebelum bertindak memecut kenderaannya secara berbahaya.
“Pihak polis bertindak mengekori suspek sebelum berjaya menahannya di Kilometer 15, Jalan Kukup di sini.
“Walaupun pemeriksaan pada badan dan kenderaan tidak menjumpai barang terlarang, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu secara melulu dan berbahaya) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Menghalang penjawat awam menjalankan tugas).
“Suspek turut disisat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Memasukkan dadah ke dalam badan),” katanya.
Dalam operasi yang sama kelmarin, sebanyak 47 kenderaan telah diperiksa dengan 12 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, dan tidak mempamerkan nombor pendaftaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




