Imigresen gempur 'lubuk' GRO di Stulang Laut

Imigresen gempur 'lubuk' GRO di Stulang Laut

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sebuah pusat hiburan di Stulang Laut di sini, dikesan menjadi `lubuk’ wanita warga asing berpeleseran mencari pelanggan.

Difahamkan lokasi itu turut menjadi sarang wanita Thailand, Filipina dan Vietnam menjalankan aktiviti maksiat.

Kegiatan itu bagaimanapun dilumpuhkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor selepas berjaya menahan 37 warga asing atas pelbagai kesalahan di lokasi itu semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan mulai jam 11 malam membabitkan sepasukan pegawai dari bahagian penguatkuasa negeri Johor.

Beliau berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap premis yang dipercayai menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai sebagai pengurus premis.

“Pemeriksaan awal mendapati, seramai 37 warga asing di tahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan termasuk seorang lelaki dewasa warga Filipina, tiga lelaki dewasa warga Bangladesh, dua lelaki dewasa warga India, tiga lelaki dewasa warga Pakistan, tiga lelaki dewasa warga Indonesia, empat lelaki dewasa warga China, 16 perempuan dewasa warga Thailand, dua perempuan dewasa warga Filipina dan tiga perempuan dewasa warga Vietnam.

“Kesemua mereka dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan pusat hiburan berusia dalam lingkungan 20 hingga 53 tahun,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

JIM mengalu-alukan sebarang maklumat berkait kesalahan melindungi PATI serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top