Kecederaan bayangi Marquez di Jerez

Kecederaan bayangi Marquez di Jerez

Barcelona: Di litar yang pernah mengubah kariernya akibat kecederaan lengan serius pada 2020, Marc Marquez sekali lagi menjadi tumpuan dari segi kecergasan menjelang aksi di Jerez hujung minggu ini.

Ketika Ducati masih bergelut mengejar Aprilia pada awal musim, juara bertahan MotoGP itu masih dibelenggu kecederaan bahu yang dialami di Mandalika pada Oktober lalu.

“Jentera itu penting, tetapi saya juga penting. Saya sedang bergelut,” kata Marquez kepada pasukannya di COTA.

Dia kemudian menjelaskan bahawa pada pusingan awal ketika tayar masih baharu, jentera menjadi lebih agresif dan menyukarkan dirinya mengawal tunggangan.

“Saya seperti menyesuaikan diri dalam posisi yang bukan semula jadi di atas jentera, dan saya hanya menunggang.

“Saya masih laju, tetapi tidak mampu mencipta perbezaan.

“Paling penting, saya mahu tingkatkan prestasi diri terlebih dahulu berbanding jentera.”

Marquez berkata, dia sudah memanfaatkan sepenuhnya tempoh rehat panjang susulan penangguhan perlumbaan di Qatar untuk fokus kepada proses pemulihan menjelang aksi di Jerez.

Pelumba nombor 93 itu sebelum ini meraikan kemenangan perlumbaan pecut di litar berkenaan musim lalu, namun melakukan kesilapan awal dalam perlumbaan utama yang dimenangi adiknya, Alex Marquez.

Marquez kembali dengan kedudukan kelima keseluruhan dan masih memburu podium pertama musim ini, selain turut memberi perhatian kepada kemas kini jentera Ducati dalam ujian penting selepas perlumbaan Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top