
Iran telah mengutip hasil pertama daripada tol yang dikenakan ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, antara laluan paling penting di dunia bagi bekalan tenaga global. – Foto: Agensi
ISTANBUL – Iran telah mengutip hasil pertama daripada tol yang dikenakan ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, antara laluan paling penting di dunia bagi bekalan tenaga global, lapor Anadolu Ajansı memetik media tempatan pada Khamis.
Timbalan Speaker Parlimen, Hamidreza Haji Babaei berkata, hasil berkenaan telah mula direkodkan secara rasmi.
“Hasil pertama daripada yuran transit di Selat Hormuz telah didepositkan ke dalam akaun bank pusat,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh Agensi Berita Tasnim.
Ahli Parlimen Alireza Salimi turut memberitahu Tasnim bahawa Iran telah mula mengutip yuran daripada kapal yang melalui selat berkenaan, memetik apa yang disifatkannya sebagai “sumber yang boleh dipercayai”.
Menurut agensi itu, jumlah yang dikenakan adalah berbeza mengikut jenis dan jumlah kargo serta tahap risiko yang dibawa oleh setiap kapal, selain menambah bahawa Iran menentukan kadar dan mekanisme kutipan berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker dan ahli Parlimen berkenaan tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai jumlah kapal yang telah membuat pembayaran.
Pada 8 April, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa Tehran sedang memperkukuh kawalannya terhadap laluan perkapalan minyak paling penting di dunia itu, dengan mengarahkan kapal-kapal untuk menguruskan pembayaran tol lebih awal dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC). Pembayaran itu dilaporkan perlu dibuat dalam bentuk mata wang kripto atau yuan China.
Pada 19 Mac, agensi berita ISNA melaporkan bahawa Iran sedang mempertimbangkan perundangan yang memerlukan negara-negara membayar yuran bagi kapal yang transit di koridor maritim strategik itu.
Aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz terganggu dengan ketara sejak perang antara AS, Israel dan Iran bermula pada 28 Feb lepas, yang menjejaskan pasaran tenaga global serta menimbulkan kebimbangan terhadap kerosakan ekonomi yang berpanjangan.
Pada Selasa, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melanjutkan tempoh gencatan senjata dengan Iran susulan permintaan daripada Pakistan, dan menyatakan ia akan kekal sehingga Tehran mengemukakan apa yang disifatkannya sebagai “cadangan bersepadu”. – Bernama



