London: Manchester United yakin mampu mengumpul sehingga £100 juta (RM534 juta) melalui penjualan pemain pada musim panas ini bagi membiayai pembinaan semula skuad dan meneruskan usaha kembali ke kelompok teratas.
United dijangka melepaskan sekurang-kurangnya lima pemain iaitu Marcus Rashford, Andre Onana, Rasmus Hojlund, Manuel Ugarte dan Joshua Zirkzee, manakala pemergian Casemiro secara percuma akan mengurangkan beban gaji besar bernilai £350,000 (RM1.87 juta) seminggu.
Selepas jendela perpindahan musim panas lalu yang dianggap berjaya dengan kemasukan pemain penting seperti Matheus Cunha, Bryan Mbeumo, Benjamin Sesko dan Senne Lammens, pengurusan bola sepak kelab mahu meneruskannya dengan beberapa lagi pembelian strategik.
Sasaran utama United ialah sekurang-kurangnya seorang pemain tengah, dengan Eliot Anderson dari Nottingham Forest dan Aurelien Tchouameni dari Real Madrid antara pemain yang sedang dinilai sebelum bidaan rasmi dibuat.
Namun, ketua eksekutif Omar Berrada, pengarah bola sepak Jason Wilcox dan pengarah rekrut Christopher Vivell tahu mendapatkan sasaran utama hanya bergantung kepada jumlah wang yang berjaya dikumpul menerusi penjualan pemain.
Dengan aksi Liga Juara-Juara Eropah hampir pasti musim depan selepas kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada Sabtu lalu, United kini lebih menarik di mata pemain sasaran mereka. Tambahan hasil sekitar £50 juta (RM267 juta) hingga £60 juta (RM320 juta) daripada saingan Eropah juga menjadi suntikan besar kepada pelan perpindahan.
Namun, menjual pemain pada harga maksimum tetap elemen paling penting dalam strategi perpindahan United, sesuatu yang sering menjadi kelemahan mereka sebelum ini.
United hanya berada di tangga kesembilan dalam kalangan kelab England dari segi pendapatan perpindahan sepanjang sedekad lalu. Bagaimanapun, penjualan Alejandro Garnacho ke Chelsea dengan harga £40 juta (RM213 juta) musim lalu dilihat langkah bijak, terutama selepas aksi hambarnya menentang bekas kelab di Stamford Bridge.
Sebaliknya, penjualan Antony yang dibeli pada harga £86 juta (RM460 juta) kepada Real Betis dengan hanya £21.65 juta (RM115.7 juta) menunjukkan masih banyak ruang penambahbaikan dalam memaksimumkan hasil jualan.
United mempunyai perjanjian dengan Barcelona yang memberi pilihan kepada kelab Sepanyol itu membeli Rashford secara tetap dengan harga £26 juta (RM139 juta) sebelum 15 Jun.
Namun, memandangkan Rashford bukan lagi pilihan utama kebelakangan ini, ada kemungkinan Barca tidak mengaktifkan klausa tersebut kerana kekangan kewangan dan keraguan terhadap nilai jangka panjang pemain berusia 28 tahun itu. Jika berlaku, United akan kehilangan sumber kewangan penting.
United juga dijangka menanggung kerugian pada beberapa pemain lain. Hojlund, yang dibeli dari Atalanta dengan harga £72 juta (RM385 juta) dan kini dipinjamkan ke Napoli, mempunyai obligasi pembelian sekitar £38 juta (RM203 juta) jika Napoli layak ke Liga Juara-Juara.
Bagi Onana pula, gajinya akan meningkat semula jika United layak ke Liga Juara-Juara, menyebabkan kelab mahu menjual penjaga gol itu musim panas ini. Namun kenaikan gaji itu juga mungkin menyukarkan usaha mencari pembeli.
Ugarte, yang dibeli dari Paris Saint-Germain dengan harga £50 juta (RM267 juta), boleh dijual sekitar separuh harga tersebut. Perkara sama berlaku kepada Zirkzee yang dibeli £36.5 juta (RM195 juta) tetapi nilai pasaran kini sekitar £18 juta (RM96 juta).
Membetulkan kesilapan lama menjadi tema utama era Sir Jim Ratcliffe sejak mengambil alih operasi bola sepak United. Namun, mereka dijangka memerlukan sekurang-kurangnya dua lagi jendela perpindahan sebelum memiliki skuad yang benar-benar mampu mencabar gelaran Liga Perdana, trofi yang gagal dimenangi sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.
Sebab itu jendela perpindahan kali ini amat penting. Bukan sekadar membeli pemain, tetapi juga menjual dengan tepat. Mereka perlu memastikan urusan keluar masuk pemain sempurna jika mahu mencabar Manchester City dan Arsenal musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




