KUALA LUMPUR – Empat cadangan utama dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) bagi memperkasa aktiviti perniagaan gerakan koperasi supaya terus membantu rakyat menghadapi krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.
Cadangan tersebut melibatkan perluasan subsidi bahan api kepada koperasi, perluasan penglibatan CoopMart dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pelaksanaan program ‘Business School in School’ dan inisiatif koperasi sebagai ‘self collection point’ bagi platform e-dagang.
Cadangan dikemukakan ketika mesyuarat MPKK dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim di Menara Kembar Bank Rakyat pada Khamis dengan penyertaan pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ketua-ketua agensi dan 36 wakil terdiri daripada Exco kerajaan negeri, wakil gerakan koperasi, akademik dan industri.
Menurut KUSKOP, cadangan pertama memperluaskan penggunaan diesel dan petrol bersubsidi kepada koperasi adalah bagi menyokong operasi harian seperti logistik, pengangkutan dan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.
“Kenderaan milik koperasi yang dicadangkan untuk menerima subsidi termasuk kenderaan utiliti seperti trak pikap bagi logistik dan penghantaran barang, penjana kuasa (genset) untuk operasi di kawasan luar bandar atau tanpa bekalan elektrik yang stabil serta bot penumpang bagi pengangkutan air.
“Langkah itu dijangka memanfaatkan lebih 300 kenderaan milik koperasi, sekali gus membantu mengekalkan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kementerian turut memaklumkan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia akan memastikan mekanisme pengesahan dan kawalan bagi mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan subsidi.
“Cadangan kedua ialah perluasan penglibatan CoopMart di seluruh negara sebagai rakan niaga dalam program SARA bagi membolehkan rakyat menebus barangan keperluan asas menggunakan kad pengenalan di kedai koperasi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, setakat ini, hampir 240 koperasi telah berdaftar dalam jaringan SARA dan sasaran semasa adalah untuk menambah 500 lagi koperasi ke dalam program berkenaan.
KUSKOP berpandangan, langkah tersebut bukan sahaja memudahkan rakyat, malah membantu meningkatkan jualan koperasi di seluruh negara.
Cadangan ketiga pula melibatkan pelaksanaan program ‘Business School in School’ bagi mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada asas perniagaan sejak awal.
“Sehingga kini, hampir 70 peratus daripada 2,623 CoopMart beroperasi di dalam sekolah. Penglibatan pelajar dalam program ini akan diiktiraf dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sebagai markah merit, selain pensijilan turut dikeluarkan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM),” ujarnya.
KUSKOP menambah, cadangan keempat membabitkan pelaksanaan inisiatif koperasi sebagai ‘self collection point’ bagi platform e-dagang seperti Shopee dengan sasaran 100 premis koperasi menyertai inisiatif tersebut tahun ini.
“Setakat ini, 25 premis telah mewujudkan kemudahan berkenaan manakala 61 lagi dalam proses saringan. Inisiatif itu membolehkan koperasi menjana pendapatan tambahan melalui kutipan bungkusan, meningkatkan trafik pelanggan serta merancakkan jualan runcit tanpa kos permulaan,” kata kementerian lagi.
Dalam majlis sama, SKM turut memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Smart Stream Resources Sdn Bhd, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memperkukuh peranan koperasi dalam sektor tenaga dan sawit.
Melalui kerjasama itu, koperasi diberi peluang menceburi perniagaan stesen minyak serta mengendalikan stesen minyak mini di luar bandar, manakala koperasi pekebun kecil akan diperkasa melalui jualan secara berkelompok, peningkatan harga hasil serta peluang aktiviti hiliran dalam sektor sawit.
Selain itu, SKM turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama INCEIF University dan ISRA Institute bagi membangunkan kerangka koperasi patuh syariah atau i-CORES di bawah Dana Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (IERIF) untuk memperkukuh lagi tadbir urus koperasi selaras agenda ekonomi Madani.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang.
Gerakan koperasi mencatatkan jumlah aset sebanyak RM186.7 bilion dan perolehan sebanyak RM81.63 bilion, sekali gus menunjukkan peranan besar koperasi dalam ekonomi negara.



