am@hmetro.com.my
Ipoh: Tindakan seorang lelaki menggilap kenderaan tanpa kebenaran sebelum memaksa pemilik membayar ‘khidmat’ itu membawa padah apabila dia diberkas polis.
Dalam kejadian di kawasan Gerbang Malam, di sini, jam 11.40 malam Selasa lalu, suspek berusia 43 tahun dipercayai mendekati kenderaan dinaiki suami isteri sebelum mengelap lampu dan meminta bayaran RM60.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa enggan membuat bayaran kerana tidak pernah meminta perkhidmatan berkenaan.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan sebuah Perodua Bezza menggunakan batu.
“Bertindak atas maklumat tular di media sosial, suspek yang juga warga tempatan ditahan jam 1 pagi Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, esok,” katanya.
Rakaman kejadian itu turut tular di media sosial memaparkan suspek secara tiba-tiba mendekati kenderaan mangsa sebelum bertindak agresif selepas tidak dilayan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




