am@hmetro.com.my
Gerik: Polis menahan seorang lelaki yang tular selepas melakukan gangguan seksual terhadap wanita dengan beronani dalam sebuah pasar raya tempat wanita itu bekerja di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, laporan kejadian diterima 5.57 petang semalam (Khamis) daripada mangsa yang juga pekerja pasar raya terbabit.
Katanya, hasil siasatan, kejadian berlaku 3.33 petang apabila mangsa yang berumur 25 tahun terkejut sebaik melihat suspek membuka zip seluar dan beronani sambil memandang ke arah mangsa.
“Mangsa yang bekerja di pasar raya itu mulanya terdengar bunyi seperti zip dibuka, membuatkan pengadu (mangsa) pergi melihat sebelum mendapati suspek sedang membuat gangguan seksual itu.
“Suspek ketika itu sedang memegang kemaluan dan beronani sambil memandang ke arah pengadu.
“Pengadu bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit serta memarahi supek yang lalu membuatkan suspek beredar dari pasar raya itu,” katanya dalam kenyataan, awal pagi hari ini.
Menurut Abdul Samad, suspek berumur 55 tahun itu berjaya dikesan dan menghasilkan tangkapan serta akan melalui proses permohonan reman pagi ini bagi siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 31 saat memaparkan kejadian seorang wanita dipercayai pekerja pasar raya sedang memarahi seorang lelaki yang sebelumnya kelihatan beronani di dalam sebuah pasar raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




