Naratif bom nuklear Iran hanyalah 'rekaan'

Naratif bom nuklear Iran hanyalah 'rekaan'

Tehran: Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata, naratif mengenai bom nuklear Iran digunakan untuk menakut-nakutkan dunia sejak lebih dua dekad, sambil menyifatkannya sebagai rekaan politik bertujuan memberi tekanan, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Esmaeil Baghaei dalam wawancara yang disiarkan pada Khamis menegaskan bahawa kebimbangan yang dibangkitkan berhubung program nuklear Iran tidak mempunyai asas yang nyata.

“Selama lebih dua dekad, dunia ditakut-takutkan dengan naratif bom nuklear Iran, sedangkan isu ini lebih kepada rekaan politik untuk memberi tekanan berbanding realiti.

“Namun begitu, Iran pernah mengadakan rundingan dan mencapai persetujuan khusus untuk menangani dakwaan-dakwaan itu,” katanya.

Walaupun berlaku pencerobohan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada Jun tahun lalu, keputusan tetap dibuat untuk terbabit dalam proses rundingan, kata beliau.

Baghaei menegaskan meskipun berlaku peristiwa pada Jun apabila AS dan Israel melancarkan perang tanpa provokasi terhadap Iran, keputusan dibuat untuk memasuki proses rundingan dan pada pusingan terakhir, persetujuan dicapai mengenai beberapa parameter utama bagi satu persefahaman awal, lapor Press TV.

Dari perspektif pihak lawan, parameter itu bertujuan menangani kebimbangan mereka, manakala dari perspektif Iran, ia dirangka untuk menjamin hak nuklear Iran, katanya.

“Berdasarkan perkara itu, atas cadangan pihak satu lagi, dipersetujui supaya satu mesyuarat diadakan di Vienna dengan kehadiran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi membincangkan dimensi teknikal isu berkenaan.

“Itulah persetujuan bersama terakhir antara kedua-dua pihak,” kata beliau.

AS dan Israel memulakan serangan terhadap Iran sejak 28 Februari, yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran Allahyarham Seyyed Ali Khamenei, pegawai kanan Iran dan orang awam.

Angkatan tentera Iran bertindak balas dengan melancarkan operasi peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lokasi di wilayah yang diduduki Israel serta pangkalan dan aset ketenteraan AS di seluruh rantau itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top