GERIK: Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang dirakam melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita sebuah pasar raya di Jalan Tun Saban, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, lelaki berusia 55 tahun itu diberkas pada pukul 9.45 malam hari yang sama di Stesen Bas Gerik.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang tidak bekerja itu pernah menerima rawatan penyakit mental.
“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Gerik hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Samad memberitahu, pihaknya menerima laporan polis berhubung perbuatan tidak senonoh suspek itu pada pukul 5.57 petang, semalam.
Katanya, kejadian itu berlaku pada pukul 3.33 petang ketika pengadu iaitu wanita berusia 25 tahun itu sedang bekerja sebelum dia terdengar bunyi seperti zip dibuka.
“Pengadu kemudian pergi melihat dan mendapati seorang lelaki yang merupakan suspek bertindak melakukan gangguan seksual dengan memegang kemaluannya sambil memandang ke arah mangsa.
“Pengadu bertindak merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit sebelum memarahi suspek, namun lelaki itu terus beredar keluar dari pasar raya berkenaan,” katanya. – UTUSAN




