WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Israel dan Lubnan bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata selama tiga minggu lagi.
Trump berkata, persetujuan itu dibuat dalam satu pertemuan di White House bersama pegawai tertinggi AS baru-baru ini.
“Pertemuan itu berjalan dengan sangat baik.
“AS akan bekerjasama dengan Lubnan bagi membantu negara itu mempertahankan dirinya daripada (kumpulan) Hizbullah,” katanya menerusi hantaran di Truth Social pada Khamis.
Serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu meragut ribuan nyawa serta menggugat kestabilan Asia Barat.
Konflik tersebut turut menyebabkan penutupan efektif Selat Hormuz, yang menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima minyak dunia dan gas asli cecair, sekali gus mencetuskan ancaman kejutan harga minyak terbesar dalam sejarah.
Selat Hormuz dibuka semula susulan gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, selepas beberapa minggu pertempuran rentas sempadan yang semakin memuncak susulan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.
Perjanjian melanjutkan gencatan senjata itu memberi ruang tambahan kepada Israel dan Lubnan untuk meneruskan usaha diplomatik dengan menangguhkan tarikh tamat gencatan senjata awal selama 10 hari yang dimeterai minggu lalu.
Dalam hantaran sama, Trump turut memaklumkan bahawa ‘wakil-wakil kanan’ dari kedua-dua negara telah bertemu dengannya di Oval Office bersama Naib Presiden AS, JD Vance; Setiausaha Negara, Marco Rubio; Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee dan Duta Besar AS ke Lubnan, Michel Issa.



