am@hmetro.com.my
Alor Setar: Penduduk di Seberang Kota, Kuala Kedah di sini, merayu agar kerajaan dapat segera menyediakan laluan khas untuk nelayan yang terpaksa melalui kawasan tanah perkuburan Islam lama untuk turun ke laut.
Kawasan perkuburan yang dianggarkan berusia lebih satu abad itu dipercayai menempatkan ribuan jenazah sejak kampung berkenaan mula dibuka menyebabkan penduduk terutama nelayan tidak selesa menjadikan kawasan itu sebagai laluan harian mereka.
Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, isu itu sudah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengelakkan orang ramai memijak kubur.
Katanya, kebanyakan kubur di situ sudah lagi tidak bernisan selain ada yang dikebumi secara berlapis.
“Kita mohon pihak berwajib membantu membina laluan khas atau jambatan untuk kegunaan nelayan dan orang awam. Nelayan setiap hari terpaksa pijak kawasan kubur untuk ke bot masing-masing.
“Ini tanah wakaf dan tempat pengebumian orang Islam, jadi perlu ada penyelesaian segera bagi menjaga kesuciannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau turut memaklumkan sebahagian kubur di kawasan itu dipercayai wujud sejak kurun ke-18 dan ada yang ditenggelami air ketika fenomena air pasang besar.
Sementara itu, nelayan yang juga Ahli Jawatankuasa Al Maarufi Seberang Kota, Japarudin Jaafar, 57, berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan laluan berkenaan untuk meneruskan rutin harian.
Katanya, mereka mengakui berasa serba salah setiap kali melalui kawasan perkuburan itu, namun terpaksa berbuat demikian kerana ketiadaan laluan lain.
“Kami memang terpaksa lalu di atas kawasan kubur untuk ke bot. Kalau boleh, kami minta dibina jambatan terus ke kawasan bot supaya tidak lagi memijak kubur.
“Kubur ini milik nenek moyang kami juga, jadi kami sendiri rasa tidak selesa, keadaan ini sangat sensitif untuk orang Islam,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang juga penjaga tanah perkuburan lama itu, Shafie Md Isa, 72, berkata, dia sering menegur orang ramai supaya tidak melalui kawasan berkenaan, namun mengakui tiada laluan alternatif lain yang boleh dilalui.
Katanya yang sudah menjaga kawasan itu sejak 15 tahun lalu, masih banyak kubur lama terdapat di situ walaupun kebanyakannya sudah tidak mempunyai tanda.
“Di hadapan kawasan kubur lama ini sudah dipasangkan pagar berdekatan dengan Pasar Nelayan Seberang Kota namun orang luar tidak tahu ini adalah tanah wakaf kubur lama.
“Saya sendiri pernah terbabit memindahkan 28 jenazah di sini kerana kawasan kubur yang terletak di tepi sungai mengalami hakisan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




