suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Perkhidmatan transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya mengalami gangguan petang ini selepas panahan petir menjejaskan operasi tren di sepanjang laluan berkenaan.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu mula dikesan pada jam 4.22 petang yang menyebabkan kelewatan perjalanan kesemua tren Laluan Putrajaya.
“Pihak operasi sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk menggerakkan tren dan
mengembalikan operasi seperti biasa secepat mungkin.
“Para penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya dinasihatkan
untuk menggunakan pengangkutan alternatif,” kata kenyataan itu, hari ini.
Rapid Rail berkata, kakitangan tambahan sudah dihantar ke stesen di sepanjang laluan bagi mengawal kesesakan.
Katanya, pengguna yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan bantuan daripada pegawai stesen dan polis bantuan di stesen berkenaan.
“Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi laman media sosial Rapid KL
dan pengumuman di stesen.
“Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas dan di atas
kelewatan perjalanan, dan berterima kasih di atas kerjasama kesemua penumpang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




