
Natthaphong (tengah) mengulas tentang perbicaraan yang akan dihadapi beliau bersama beberapa anggota partinya.
BANGKOK – Mahkamah Agung Thailand pada Jumaat mengumumkan kira-kira 44 ahli pembangkang termasuk bekas anggota parti tersebut akan dibicarakan atas percubaan mahu meminda undang-undang kontroversi yang melindungi monarki atau lese majeste daripada sebarang bentuk kritikan.
Kesemua mereka akan dihadapkan ke mahkamah bermula 30 Jun depan atas dakwaan melanggar etika yang boleh dikenakan hukuman maksimum berupa larangan memegang sebarang jawatan di pejabat kerajaan seumur hidup jika disabit bersalah.
Antara yang berada dalam senarai itu ialah pemimpin Parti Rakyat, Natthaphong Ruengpanyawut, empat timbalan ketua dan bekas pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat yang sudah pun berdepan larangan terlibat politik selama 10 tahun.
“Kami akan meneruskan perjuangan di Mahkamah Agung bagi mempertahankan kesahihan mandat perwakilan dalam sebuah demokrasi berparlimen,” ujar Natthaphong dalam satu sidang media.
Pada 2024, sebuah mahkamah memutuskan bahawa usaha MFP untuk meminda undang-undang menghina raja adalah tidak berperlembagaan dan melemahkan sistem demokrasi. Parti itu kemudiannya dibubarkan. – Agensi



