PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menegaskan keperluan untuk memperkukuh daya tahan, daya saing dan keupayaan pelaksanaan merentasi ekosistem perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia pada Hari Rakan OGSE syarikat itu.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Bacho Pilong berkata, program berkenaan bertujuan mempamerkan ekosistem OGSE yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.
Selain itu katanya, program itu juga mempamerkan ekosistem OGSE yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh, berkeupayaan dari segi teknologi, bersedia dengan modal insan serta ditadbir dengan penuh integriti.
“Bidang tumpuan utama daripada kemampanan dan operasi digital kepada kewangan serta pembangunan modal insan adalah saling berkaitan.
“Perubahan tidak berlaku secara berasingan. Ia berlaku apabila teknologi, bakat, modal dan tadbir urus bergerak maju secara seiringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bertemakan ‘Memperkasa Daya Tahan’, program selama dua hari yang diadakan dari 23 hingga 24 April, 2026 menghimpunkan lebih daripada 800 peserta termasuk vendor, wakil persatuan, kontraktor perkongsian pengeluaran, institusi kewangan dan agensi kerajaan.
Petronas menyatakan bahawa Hari Rakan OGSE tersebut turut menampilkan siri sesi panel yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus serta mempercepat pembangunan keupayaan merentasi rantaian bekalan OGSE.
Ahli panel termasuk wakil daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) yang berkongsi perspektif mengenai turun naik pasaran, persaingan global, keperluan kelestarian, peralihan teknologi serta jangkaan dasar yang sentiasa berkembang.
“Perbincangan ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang bertujuan memperkukuh daya saing serantau syarikat-syarikat OGSE Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Petronas memaklumkan bahawa pihaknya telah memformalkan memorandum persefahaman (MoU) di bawah Program Pembiayaan Vendor Mampan bersama Alliance Bank Malaysia Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, UOB Malaysia, RHB Bank Bhd dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).
Petronas menyatakan program tersebut yang dilancarkan pada tahun lepas menyasarkan vendor untuk mengakses pembiayaan mampan dengan lebih mudah.
Inisiatif ini memanfaatkan pendedahan kemampanan untuk membantu vendor mendapatkan kemudahan daripada dana seperti Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) Bank Negara Malaysia serta Skim Pembiayaan Perniagaan Kelestarian dan Hijau (SGBF) daripada MIDF.
Petronas menambah bahawa pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan penggiat industri untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif di samping memperkukuh daya tahan serta daya saing sektor tersebut secara keseluruhan. – Bernama



