Sultan Nazrin rasmi pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026

Sultan Nazrin rasmi pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026

NILAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda sekitar pukul 5.30 petang disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol serta Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill.

Sejurus keberangkatan tiba, baginda berkenan menyaksikan upacara pembukaan sebelum merasmikan secara rasmi kejohanan yang akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Penganjuran edisi kali ini menyaksikan penyertaan lebih 40 negara, sekali gus mengembalikan Malaysia sebagai antara pusat tumpuan utama berbasikal trek dunia selepas lebih dua dekad.

Amarjit berkata, kejayaan menjadi tuan rumah kali ini membuktikan kepercayaan tinggi komuniti antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia mengendalikan kejohanan bertaraf dunia.

“Ini merupakan satu detik bersejarah buat negara dan kami bersedia menyambut kehadiran pelumba terbaik dunia dengan kemudahan serta persiapan yang rapi,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran tersebut juga mencerminkan aspirasi besar negara untuk terus memperkukuh kedudukan dalam arena berbasikal trek antarabangsa.

Antara pelumba ternama yang bakal menjadi tumpuan termasuk juara Olimpik lima kali Harrie Lavreysen selain Nicholas Paul, Sebastien Vigier, Luca Spiegel dan Daniel Staniszewski.

Cabaran Malaysia pula digalas dua sandaran utama negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang diharap mampu menghadiahkan kejayaan di hadapan penyokong sendiri. – UTUSAN

Scroll to Top