
Setakat tahun kewangan berakhir 2025, RHB secara kumulatif telah menggerakkan kira-kira RM60 bilion dalam perkhidmatan kewangan mampan dengan sasaran sebanyak RM90 bilion menjelang 2027.
KUMPULAN Perbankan RHB telah dinaik taraf daripada AA kepada AAA dalam Penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) MSCI.
Penarafan tertinggi ini meletakkan kumpulan berkenaan dalam kalangan institusi kewangan global peringkat teratas dalam pengurusan risiko dan peluang ESG.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, RHB menyatakan bahawa kenaikan taraf itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur global terhadap keupayaannya untuk memacu pertumbuhan mampan.
Kejayaan ini disokong oleh pelaksanaan berdisiplin dalam memperluas pembiayaan mampan, mengurangkan pelepasan yang dibiayai merentasi sektor-sektor utama serta memperkukuh amalan tadbir urus dan pengurusan risiko.
Setakat tahun kewangan berakhir 2025, RHB secara kumulatif telah menggerakkan kira-kira RM60 bilion dalam perkhidmatan kewangan mampan dengan sasaran sebanyak RM90 bilion menjelang 2027.
Kumpulan itu juga telah mencapai pengurangan sebanyak 13.2 peratus dalam pelepasan yang dibiayai merentasi lima sektor utama berpelepasan tinggi berbanding garis dasar 2022.
Selain itu, RHB memaklumkan bahawa mereka turut mencatatkan pengurangan sebanyak 49 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau operasi berbanding garis dasar 2016.
Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan/Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, pengiktirafan ini memperkukuh tumpuan RHB dalam menjana hasil yang boleh dipercayai dan boleh diukur.
Selain itu katanya pengiktirafan berkenaan menyokong pelanggan dan komuniti kumpulan melalui perjalanan peralihan mereka sambil mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang saham.
“Berlandaskan strategi PROGRESS27 kami, kami kekal komited untuk memajukan pertumbuhan mampan, bertanggungjawab dan inklusif di seluruh rantau ini,” tambahnya.
RHB menambah bahawa Penarafan ESG MSCI menjadi penanda aras yang digunakan secara meluas oleh pelabur global, merangkumi lebih daripada 17,000 penerbit di seluruh dunia dan menilai syarikat berdasarkan daya tahan syarikat terhadap risiko dan peluang ESG yang relevan dari segi kewangan berbanding dengan rakan industri.
AAA mewakili penarafan tertinggi dan secara tidak langsung mempamerkan kepimpinan dalam pengurusan risiko ESG. – Bernama



