Kerajaan komited pastikan industri kuari berkembang secara mampan dan berdaya saing

Kerajaan komited pastikan industri kuari berkembang secara mampan dan berdaya saing

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Serdang: Kerajaan komited memastikan industri kuari terus berkembang secara mampan, berdaya tahan dan berdaya saing meskipun berdepan cabaran global serta kenaikan kos tenaga.

Timbalan Setiausaha Bahagian Mineral dan Geosians dari Kementerian Sumber Asli dan kelestarian Alam Sekitar, Razana Yaacob berkata, ia adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3).

Katanya, aspirasi itu menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

“Industri kuari adalah tunjang penting dalam pembangunan negara khususnya dalam menyokong pelaksanaan projek infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi.

“Tanpa bekalan agregat, batuan dan bahan mentah mencukupi, sudah pasti pelaksanaan projek infrastruktur, pembangunan perumahan serta pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas.

“Justeru itu, dasar ini menuntut supaya setiap aktiviti kuari dilaksanakan secara mampan, bertanggungjawab, cekap dan memberi nilai tambah kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Persatuan Kuari Malaysia (MQA) ke-30 di Wisma Huazong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden MQA, Datuk Seri Toh Keng Tiong dan Timbalan Presiden MQA, Patrick James Pereira.

Razana berkata, industri itu kini berada dalam fasa transformasi yang menuntut penggunaan teknologi moden, kecekapan operasi serta pematuhan kepada piawaian alam sekitar.

“Pada masa sama, penerapan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta sumbangan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) semakin penting dalam menentukan daya saing industri.

“Inisiatif seperti Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) turut membantu menilai prestasi industri secara menyeluruh dari aspek alam sekitar, keselamatan, kecekapan sumber serta tadbir urus,” katanya.

Menurutnya, industri itu turut berdepan cabaran global seperti ketidaktentuan geopolitik seperti krisis yang berterusan di Asia Barat dan kenaikan kos tenaga yang memberi tekanan kepada operasi industri.

“Namun, cabaran ini juga membuka ruang untuk inovasi melalui penggunaan teknologi hijau, kecekapan tenaga dan pengurusan kos yang lebih strategik.

“Dalam menghadapi situasi ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah intervensi bagi mengurangkan impak kepada sektor ekonomi termasuk memastikan kesinambungan projek pembangunan serta kestabilan pasaran domestik,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya semua pemain industri terus memperkukuh kerjasama antara sektor swasta dengan kerajaan.

“Peranan MQA amat penting sebagai wadah penyatuan suara industri serta rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan pembangunan industri yang mampan dan berdaya saing.

“Pendekatan kolaboratif ini amat penting bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani secara konstruktif,” katanya.

Sementara itu, Patrick berkata, krisis bahan api yang dihadapi adalah ancaman serius kerana ia meningkatkan kos operasi dan memberi tekanan kepada pengangkutan.

“Tetapi setiap krisis mengandungi benih transformasi. Kini masanya kita mempercepatkan penggunaan tenaga hijau alternatif dan teknologi baharu.

“Kita sudah memodenkan pelbagai aspek termasuk trak yang lebih selamat, sistem kawalan habuk, konveyor berbumbung serta sistem cuci tayar,” katanya.

Katanya, MQA komited untuk memimpin peralihan ke arah pengkuarian rendah karbon, penggunaan jentera elektrik dan hibrid, integrasi tenaga boleh baharu serta kecekapan pintar berdasarkan data.

“Ini bukan sekadar tanggungjawab alam sekitar tetapi juga daya persaingan perniagaan. Kuari yang mengamalkan teknologi hijau hari ini akan menjadi peneraju industri esok.

“Selama 30 tahun, MQA berpegang pada prinsip profesionalisme, keselamatan dan kelestarian. Kami akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JMG, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top