GP Turkiye kembali warnai F1 pada 2027

GP Turkiye kembali warnai F1 pada 2027

Istanbul: Grand Prix Turkiye bakal kembali ke kalendar Formula Satu (F1) pada 2027 selepas enam tahun tidak dianjurkan, menurut pengumuman rasmi, semalam.

Perlumbaan yang pernah dianjurkan dari 2005 hingga 2011 serta 2020 hingga 2021 itu akan berlangsung di Litar Istanbul Park.

Kali ini, perlumbaan itu dijamin berlangsung sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengesahkan perkara itu sebagai tanda sambutan kembalinya perlumbaan berprestij berkenaan.

Sebuah jentera F1 dipandu Yuki Tsunoda menyusuri jalan utama Istanbul bermula dari pelabuhan kapal persiaran utama, Galataport sebelum menamatkan perjalanan di pejabat Presiden di Dolmabahce.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali serta Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem.

“Kembalinya Grand Prix Turkiye ke kalendar F1 adalah kemenangan buat semangat dan kepercayaan Turkiye terhadap sukan.

“Perlumbaan F1 di Istanbul Park sekurang-kurangnya selama lima tahun akan menyokong kedudukan Istanbul di peringkat dunia serta membuktikan negara kami adalah lokasi selamat di rantau ini,” kata Erdogan.

Pada November 2020, Lewis Hamilton muncul juara dunia ketujuh dalam perlumbaan penuh dramatik di Turkiye yang dilanda hujan, sekali gus menyamai rekod legenda Michael Schumacher.

“Istanbul Park adalah litar yang mempunyai tempat istimewa dalam sejarah F1,” kata Ben Sulayem dalam kenyataan FIA.

Menurutnya, kembalinya Turkiye ke dalam kalendar adalah gambaran jelas pertumbuhan dan daya tarikan global sukan itu.

Musim 2027 turut menyaksikan kembalinya Grand Prix Portugal, manakala Grand Prix Belanda tidak lagi berada dalam kalendar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top