Kecederaan Mbappe resahkan kem Piala Dunia Perancis

Kecederaan Mbappe resahkan kem Piala Dunia Perancis

Madrid: Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe mengalami masalah pada hamstring kiri ketika pasukannya seri 1-1 menentang Real Betis dalam aksi La Liga, menurut sumber kelab kepada AFP, semalam.

Mbappe meminta untuk dikeluarkan pada 10 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan Madrid kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Masalah yang dialami kapten Perancis itu dilihat tidak serius, namun masih menunggu keputusan ujian lanjut, sekali gus meredakan kebimbangan menjelang Piala Dunia musim panas ini.

“Saya tidak pasti (keadaan Mbappe), dia berasa sedikit tidak selesa dan kita akan lihat perkembangannya dalam beberapa hari lagi,” kata jurulatih Alvaro Arbeloa ketika ditanya media mengenai penyerang itu yang juga penjaring terbanyak Madrid, selepas perlawanan.

Hector Bellerin muncul wira Betis apabila menjaringkan gol masa kecederaan untuk mengikat Madrid 1-1, sekali gus menjejaskan peluang tipis pasukan itu dalam perebutan kejuaraan LaLiga.

Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada anak buah Arbeloa yang kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Barcelona, yang bermain kurang satu perlawanan.

Real terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi Vinicius Jr selepas memanfaatkan bola muntah hasil percubaan Federico Valverde yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Betis.

Sementara itu, pemain sayap remaja Barcelona, Lamine Yamal turut mengalami kecederaan hamstring pada Rabu lalu yang menyebabkan dia terlepas baki musim ini, namun dijangka sempat pulih untuk beraksi bersama Sepanyol di Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top