Aril Pilus sarankan artis generasi baharu utamakan kualiti daripada tular

Aril Pilus sarankan artis generasi baharu utamakan kualiti daripada tular

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengacara, Aril Pilus meluahkan pandangannya mengenai landskap industri seni masa kini yang dianggap jauh berbeza berbanding zaman dahulu.

Menerusi hantaran di Threads, Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 40, secara terbuka menyatakan bahawa zaman sekarang, seseorang tidak lagi memerlukan bakat yang besar untuk bergelar artis.

“Hari ini, kau cuma perlukan telefon, internet, satu video yang kena timing (tepat pada masa) dan terus dikenali.

“Aku bermula tahun 2009. Zaman itu, kalau nak naik kena lalui ujibakat berpuluh kali, kena reject (tolak) depan-depan dan buat persembahan walapun tiada yang layan .

“Sekarang? Kalau video tak jalan, kau boleh delete (padam). Cuba lagi, edit (sunting) lagi sampai nampak sempurna,” tulisnya lagi.

Menurut pelantun lagu Menatap Matamu ini, dia berpendapat bahawa ia kurang adil dengan laluan pintas yang dilalui individu zaman kini berbanding perjalanan seninya yang panjang.

“Jujur, aku pernah rasa perkara ini tak adil. Aku tengok orang naik laju, tanpa lalui benda yang aku lalui.

“Tapi lama-lama aku sedar, ini bukan soal adil atau tidak tapi soal siapa cepat faham game (permainan) baharu,” kongsinya.

Tambah Aril, meskipun media sosial boleh memberikan populariti segera, namun pentas persembahan tetap menjadi kayu ukur sebenar untuk menentukan sama ada seseorang artis itu mampu bertahan lama atau tidak.

“Dekat atas pentas, tiada ‘cut’, tiada ‘retake’ dan tiada suntingan. Cuma kau dan penonton depan mata.

“Aku tidak cakap orang-orang baru ini tidak bagus, ramai yang berbakat, tapi jangan keliru antara viral (tular) dan value (nilai). Dua benda berbeza,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Aril yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim ketujuh mengakui dia kini perlu belajar menerima hakikat perubahan zaman dan melakukan penyesuaian tanpa hilang jati diri.

Sementara itu, Aril turut menitipkan pesanan buat bakat-bakat baru agar tidak hanya mengejar perhatian sementara menerusi kandungan tular semata-mata.

“Kalau cari ‘performer’ yang nampak bagus dalam video, ramai. Tapi kalau cari yang boleh pegang penonton secara live (siaran langsung) tanpa skrip dan buat orang rasa sesuatu, itu lain cerita.

“Saya masih ada. Tidak tular sangat, tapi masih ‘solid’. Kalau tengah kejar populariti sekarang tidak salah, cuma jangan lupa, tular boleh beri perhatian tapi hanya value (nilai) yang buat orang kekal bertahan,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top