Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel dalam tempoh terdekat sebagai langkah meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk meneliti mekanisme sesuai bagi pelaksanaan pengurangan tersebut, dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna terutama sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.
“Turunkan harga minyak (diesel) sekarang ini tidak mampu tetapi cukai jalan itu boleh (dikurangkan) dan terdapat sebanyak 1.8 juta kenderaan diesel di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Stadium Negeri, hari ini.
Jelas beliau, walaupun jumlah kenderaan diesel sekitar 1.8 juta unit dianggap kecil berbanding keseluruhan kenderaan di negara ini, kumpulan pengguna tersebut tetap terkesan secara langsung dengan kenaikan harga diesel.
Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan kekal dengan dasar penyasaran subsidi petrol RON95 melalui Program Budi MADANI (BUDI95), dengan jumlah tanggungan subsidi bahan api kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan.
Katanya, fokus kerajaan ketika ini bukan hanya kepada harga bahan api semata-mata, sebaliknya turut memastikan bekalan kekal stabil berikutan ketidaktentuan pasaran global.

Artikel lain: Minyak kita terlalu murah, Malaysia satu-satunya negara ASEAN tak catu bekalan bahan api – PM Anwar
Sementara itu, Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dalam suasana geopolitik yang tidak menentu.
Beliau berkata, dasar luar Malaysia yang bebas dan berdaulat membolehkan negara menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat, China dan negara Asia Barat.

“Kita (Malaysia) tidak campur dari segi ketenteraan, tidak campur sehingga menjejaskan hubungan baik kita, tetapi kita sebagai negara bebas dan berdaulat mesti bersuara kalau ada jenayah besar terhadap mana-mana negara,” katanya.
Anwar turut menjelaskan hubungan diplomatik yang baik penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara, termasuk kelancaran laluan kapal tangki minyak di kawasan strategik seperti Selat Hormuz.
Sumber: BERNAMA




