Polis sahkan tiada bom di pasar raya Klang

Polis sahkan tiada bom di pasar raya Klang

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tiada sebarang bahan letupan atau peranti berbahaya di sebuah pasar raya di Klang seperti mana dakwaan yang tular di media sosial beberapa jam lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang juga pengurus stor jam 4.04 petang tadi.

Katanya, lelaki terbabit memaklumkan pihaknya menerima satu emel yang mengatakan ada bahan letupan diletakkan di pasar raya itu.

“Susulan laporan itu, pihak polis mengambil tindakan awal dengan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh bagi tujuan pengesanan bahan letupan di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Klang.

“Hasil pemeriksaan dijalankan selama hampir tiga jam, polis bersama pasukan bantuan tidak menemui sebarang bahan letupan mahupun peranti mencurigakan seperti yang dinyatakan dalam emel,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ramsay berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-3291 9614, balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Fazlan Rezza Mazlan di talian 011-1056 1017.

Terdahulu, tular di media sosial video orang awam dalam keadaan panik di pasar raya terbabit dengan hantaran yang mendakwa ada bom dalam bangunan dan bangunan ditutup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top