
Sebuah insiden melibatkan sebuah trak pikap seberat kira-kira tiga tan yang dipandu seorang wanita telah menyebabkan sebuah kereta mewah Lamborghini bernilai RM1.34 juta rosak.
MIAMI – Satu insiden melibatkan sebuah trak pikap seberat kira-kira tiga tan yang dipandu seorang wanita telah menyebabkan kereta mewah Lamborghini bernilai RM1.34 juta rosak dalam kejadian di kawasan parkir di Florida, lapor akhbar The Sun.
Mangsa, seorang usahawan kelahiran Cuba, Ramón Ferrer, dilaporkan sedang mencari ruang parkir sebelum kenderaan jenis Chevrolet Silverado itu melanggar bahagian hadapan Lamborghini Huracan miliknya yang berwarna hitam dalam kejadian baru-baru ini.
Difahamkan, trak pikap tersebut telah diubah suai dengan sistem suspensi yang ditinggikan, sekali gus menyukarkan pemandu untuk melihat kereta sport yang lebih rendah di hadapannya.
Akibat pelanggaran itu, trak berkenaan naik ke atas Lamborghini, menyebabkan bahagian hadapan kenderaan mewah tersebut mengalami kerosakan teruk.
Rakaman video yang dimuat naik di Instagram menunjukkan pemandu trak berkenaan keluar dari kenderaan sambil memegang kepala, dipercayai terkejut dengan kejadian yang berlaku. Tiada kecederaan dilaporkan.
Ferrer, yang sebelum ini menyifatkan Lamborghini tersebut sebagai kereta idamannya, turut berkongsi rakaman insiden berkenaan di media sosial.
“Hari ini saya seolah-olah diberi peluang kedua. Terima kasih Tuhan atas satu lagi hari dan peluang. Harta benda bukan keutamaan, keselamatan diri adalah paling penting,” katanya. – Agensi



