Hatrik Wilmar bantu Imigresen belasah PDRM 5-0

Hatrik Wilmar bantu Imigresen belasah PDRM 5-0

Kuala Lumpur: Kelincahan penyerang berbisa Imigresen FC Wilmar Jordan Gil yang meledak hatrik menjadi watak utama dalam kemenangan besar 5-0 ke atas PDRM FC pada saingan Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Imigresen FC membuka pesta gol seawal minit keenam menerusi tandukan Wilmar hasil hantaran tepat Eduardo Sosa untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan.

Sosa kemudian melebarkan kedudukan pada minit ke-37 apabila melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang dari jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol PDRM FC.

Menjelang tamat babak pertama, Wilmar terus mencuri tumpuan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-45 hasil gerakan kemas Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan lorongan bijak Sosa.

Bersambung babak kedua, perlawanan berlangsung lebih sengit dengan aksi fizikal, namun percubaan PDRM FC untuk bangkit kerap dipatahkan benteng pertahanan Imigresen FC yang kental.

Kelekaan benteng pelawat sekali lagi dihukum apabila Elvis Kamsoba menambah gol keempat pada minit ke-70 selepas menyudahkan hantaran Mohammad Fayadh untuk menewaskan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Wilmar kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti, sekali gus memastikan kemenangan mutlak dan penuh dominasi berpihak kepada Imigresen FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top