Kuala Lumpur: Sebanyak 18 ketua isi rumah yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat, Sabah pada 16 April lepas telah menerima bantuan awal berupa sumbangan tunai RM1,000 berserta barangan keperluan dapur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata bantuan itu disalurkan bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manifestasi keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap nasib rakyat yang ditimpa bencana.
“Tiada rakyat yang harus dibiarkan sendirian ketika berdepan musibah. Di Kampung Gumpa, Kudat, 18 ketua isi rumah terkesan akibat kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah. Insiden ini memberi kesan besar kepada kehidupan keluarga yang terlibat dan memerlukan perhatian.
“Semoga segala urusan mangsa dipermudah dan mereka diberikan kekuatan untuk bangkit semula,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata penghargaan turut diberikan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pemimpin masyarakat setempat yang membantu mangsa sejak hari pertama kejadian.
Mustapha turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini bagi mengelak kejadian kebakaran kembali berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




