Gula-gula dadah: Pempengaruh akan didakwa Isnin ini

Gula-gula dadah: Pempengaruh akan didakwa Isnin ini

am@hmetro.com.my

Melaka: Pempengaruh lelaki yang direman berhubung kes kanak-kanak perempuan disyaki positif dadah selepas memakan gula-gula disyaki mengandungi ganja akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, Isnin ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, arahan mendakwa suspek berusia 39 tahun itu sudah diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), semalam.

“Siasatan sudah lengkap dijalankan sepanjang tempoh reman itu.

“Kes kini sudah dirujuk kepada TPR dan arahan untuk menuduh suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Media pada 22 April lalu melaporkan pempengaruh media sosial itu ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.

Lelaki berusia 39 tahun yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 16 April dan disambung lima hari lagi bermula 22 April bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top