mohamadridzuan@hmetro.com.my
SEBAGAI Pok Yie yang berperwatakan lembut dalam filem Libang Libu arahan Bobby Husaini ia bukan satu masalah besar buat pelakon versatil seperti Sabri Yunus.
Sabri atau nama sebenarnya, Mohd Sabri Yunus, 65, berkata, hubungan baiknya dengan Bobby yang terjalin menerusi iklan komersil dan filem pendek, membawa kepada kewujudan watak ini.
“Watak itu sebenarnya sudah lama dicipta untuk sebuah filem, tetapi ketika itu belum pasti bila penggambaran akan dilakukan. Jadi apabila Bobby dapat peluang hasilkan iklan raya, dia masukkan watak tersebut ke dalam iklan itu terlebih dahulu.
“Apabila projek filem ini akhirnya direalisasikan, watak dikembalikan kepada tujuan asal, sekali gus buka ruang buat saya untuk terbabit secara lebih serius dalam naskhah ini.
“Bobby dah buat filem, tentulah dia kembali kepada niat asal. Jadi itulah sebabnya kenapa saya terlibat dalam filem ini, ” katanya.
Lakonan Sabri menjadi dan berjaya menggeletek hati penonton. Malah dia juga memperlihatkan keberanian apabila ‘berkemban’ dalam filem ini.
“Pada saya berkemban tak ada masalah. Sebab kita lelaki, aurat kita dah ada atas pusat. Jadi tak risau. Yang menampakkan dari sudut itu tak ada masalah, tapi kalau orang kata buruk, buruk itu memang saya buruklah.
“Nak risau apa kan? Kalau saya tak berkemban pun buruk juga. Jadi tak ada masalah. Sebagai pelakon, saya rasa kita pun ada rasa sendiri boleh tahu, boleh sedar sepatutnya mana yang boleh, mana yang tak boleh.
“Ada batasnya di mana yang boleh kan? Tetapi selalunya kita, pada saya cantiknya kalau kita bermain di antara ruang iaitu ruang boleh dengan tak boleh,” katanya.
Menjelaskan lebih terperinci, pelakon yang menggilap nama menerusi sitkom popular pertengahan era 80-an ini berkata, setiap pelakon kena bijak bermain.
“Cerita komedi paling banyak cabarannya. Sebab komedi dah tentu hasilnya kita nak orang terhibur, orang ketawa. Kalau kita tidak komedi, kita tak ada tekanan itu nak bawa. Tapi komedi kena ada diletak satu harapan orang mesti terhibur kan?
“Jadi itu tekanan pada pemain komedi sebenarnya. Watak ini pada saya tak adalah sangat tekanan sebab saya dah bawa macam-macam watak dalam kerjaya saya,” katanya.
Bagaimanapun Sabri berkata, cabaran dalam wataknya ialah mengekalkan perwatakan lembut.
“Kadang-kadang saya terlupa saya lembut. Sebab kita bukan macam itu kan. Kadang-kadang pengarah kata, “Boleh tak lembut sikit? Lembut lagi.”
“Sebab saya sebenarnya kalau boleh tak nak lembutkan semacam itu, saya nak lagi keras sikit watak lembut itu. Tapi agaknya dia orang suka macam itu.
“Sebenarnya peringkat awal saya tak tahu ada dua tiga orang lembut dalam filem ini. Jadi kalau saya tahu, barang kali saya boleh fikirkan lembut yang macam mana lagi supaya tidak sama.
“Sebab saya fikir watak saya lembut saja sebab dalam ‘short’ film raya itu saya seorang saja lembut, jadi saya fikir oh saya seorang sajalah,” katanya.
Bercerita lanjut, Sabri mengakui babak yang sukar dibawakan ialah dia berlari dalam keadaan berkemban.
“Saya kena lari berkemban dan kain berkemban jatuh. Nampak simple tapi dia susah sebab babak lain kita bawa elok kita berjalan, kita biasa saja.
“Tapi babak itu saya sedar kalau tak betul impaknya, saya takut jadi lain. Babak saya diintai pula, walaupun kain jatuh, kita tetap nampak seluar saya.
“Sebenarnya dia tak nak bagi nampak seluar seolah-olah macam telanjang betul. Tapi saya rasa tak ‘best’ (seronok), akan datangkan macam-macam isu. Jadi saya angkatkan sedikit seluar. Supaya bila jatuh, oh rupanya ada seluar,” katanya.
Sabri bukan kali pertama membawakan watak lelaki lembut. Dia pernah melakonkannya menerusi telefilem genre komedi berjudul Kampung Semarah Padi.
Katanya lagi, dia disumpah menjadi lelaki lembut dan watak itu mengangkat dia sebagai pemenang anugerah dalam kategori komedi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




