Kegiatan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin akhirnya terbongkar selepas satu operasi khas dijalankan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Apa yang lebih mengejutkan, kegiatan ini bukan sahaja melibatkan ejen luar, malah turut ‘dibantu’ oleh seorang pegawai kanan imigresen sendiri.
Op Toyu bongkar kegiatan licik
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dalam laporan MalayMail berkata, seramai 10 individu telah ditahan dalam operasi dikenali sebagai Op Toyu yang dijalankan hasil risikan selama sebulan.
Antara yang ditahan termasuk seorang lelaki tempatan dan seorang warga Thailand yang bertindak sebagai ‘ejen Toyu’, selain seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’.
Turut diberkas adalah lima warga India, seorang warga Pakistan serta seorang pegawai kanan imigresen yang dipercayai menjadi ‘fasilitator’ kepada sindiket ini.
Modus operandi guna teksi, pegawai ‘luluskan’ kemasukan
Siasatan awal mendapati seorang warga India berada dalam senarai hitam, manakala warga Pakistan pula menggunakan e-visa palsu. Selebihnya didapati masuk secara tidak sah.
Pihak berkuasa turut merampas lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan Malaysia-Thailand, cop keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit serta wang tunai INR30,000.
Selain itu, sebuah kereta Nissan Sentra dan dua motosikal Honda Wave serta Honda EX5 turut disita.
Kata beliau lagi, sindiket ini menggunakan taktik membawa masuk warga asing melalui laluan darat dengan bantuan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi sebelum pegawai terlibat meluluskan kemasukan walaupun tidak memenuhi syarat.
Warganegara asing ini akan dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia oleh ‘transporter’ yang berselindung sebagai pemandu teksi bagi mengaburi pihak berkuasa. Setibanya di pintu masuk negara, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan endorsement ke dalam pasport warganegara asing ini walaupun telah tidak memenuhi syarat kemasukan.
Lebih mengejutkan, sindiket ini mengenakan caj RM1,000 bagi setiap individu, dengan RM400 disalurkan kepada pegawai bagi setiap pasport.
Kegiatan ini dipercayai aktif sejak awal tahun dan menyebabkan ketirisan hasil negara mencecah RM4.1 juta.
Kes disiasat di bawah pelbagai akta
Kesemua suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Mereka telah dibawa ke pejabat Imigresen Kedah untuk tindakan lanjut, manakala beberapa individu lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.
Pssttt! Kalau benar ada ‘orang dalam’ terlibat, ini memang sesuatu yang membimbangkan. Sistem yang sepatutnya jaga sempadan negara jadi longgar sebab kerakusan duit. Harap tindakan tegas dikenakan supaya perkara macam ini tak berulang dan kepercayaan rakyat dapat dipulihkan.
Kredit: MalayMail
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




