Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Azleen Ambros dilihat tampil menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan ekonomi yang semakin dirasai rakyat susulan krisis tenaga global ketika ini.
Beberapa cadangan perlu diambil kira oleh Kerajaan Negeri
Menerusi kenyataan susulan satu mesyuarat penuh yang berlangsung di Johor Bahru pada 25 April 2026, beberapa ketetapan penting telah dicapai bagi mendepani situasi tersebut.

Kerajaan nengeri perlu perkenalkan pakej rangsangan ekonomi
Menurut beliau, Pemuda UMNO Johor menegaskan keperluan mendesak agar kerajaan negeri memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi khusus bagi mengurangkan beban rakyat serta memastikan sektor perniagaan terus bertahan dalam suasana ekonomi tidak menentu.
Pergerakan itu turut memberi penekanan agar bantuan disasarkan kepada golongan yang paling terkesan, termasuk pengusaha bas sekolah, bas pelancong, pengusaha bot pelancongan di Mersing, nelayan kecil serta petani.
Langkah ini dianggap penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan negeri tidak terjejas.

Dalam masa sama, Azleen Ambros juga menggesa pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan segera seperti pemberian rebat, potongan sewa dan pengurangan cukai premis bagi membantu peniaga kecil dan sederhana yang kini berdepan peningkatan kos operasi.
“Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) juga disaran menawarkan diskaun sewa kepada penyewa rumah PKPJ bagi membantu golongan terkesan menghadapi tekanan ekonomi semasa,” ujarnya.
Isu bantuan turut disentuh
Isu bantuan turut disentuh apabila Pemuda UMNO Johor mencadangkan agar golongan bujang bawah 40 tahun dipertimbangkan sebagai penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Ke-4.
Selain itu, pekerja pos dan pengawal keselamatan juga dicadangkan untuk dimasukkan sebagai penerima bantuan, selari dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam perkembangan lain, mereka turut menyambut baik pelaksanaan gagasan Rumah Bangsa oleh UMNO yang dilihat berjaya menarik semula ribuan pemimpin pelbagai peringkat untuk kembali bersama parti, sekali gus mengukuhkan struktur organisasi.
Peningkatan jumlah ahli baharu, khususnya dalam kalangan Pemuda, turut menjadi petanda positif apabila sistem pendaftaran secara atas talian semakin mendapat sambutan.
Susulan itu, satu kempen besar-besaran akan digerakkan bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO.
Setiap bahagian di seluruh Johor juga diseru untuk menganjurkan majlis khas bagi meraikan kehadiran ahli baharu sebagai usaha memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.




