Anak Ako Mustapha trauma serius, dirujuk pakar psikiatri akibat dibuli

Anak Ako Mustapha trauma serius, dirujuk pakar psikiatri akibat dibuli

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Ako Mustapha mendedahkan anak keempatnya, Mikael Iskandar Mustapha, 10, mengalami trauma serius sehingga terpaksa dirujuk kepada pakar psikiatri selepas didakwa menjadi mangsa buli di sekolah.

Menerusi hantarannya di Threads, hari ini, Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 55, memaklumkan hasil perbincangan bersama pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya menunjukkan tanda-tanda trauma yang nyata.

“Dari awal tahun, Mika kerap mengalami mimpi ngeri serta terkencing dan terbuang air besar dalam seluar. Pada mulanya, saya sangka dia malas ke tandas, rupanya itulah tanda-tanda trauma,” tulisnya.

Menurut Ako, anaknya juga menunjukkan reaksi ketakutan yang luar biasa setiap kali mendengar bunyi loceng pintu rumah sehingga terpaksa ditenangkan oleh ibunya.

“Lagi satu, saya pelik bila ada orang bunyikan loceng pintu, Mika akan menyorok ketakutan. Mummy (isteri) dia kena peluk dan beritahu tak mengapa hanya keluarga yang datang ke rumah.

“Kesan bengkak di perut sudah hilang, cuma lebam belakang pinggang Mika masih ada. Doakan anak saya cepat sembuh,” tulisnya lagi.

Pendedahan lebih mengejutkan yang diterima isteri Ako apabila dimaklumkan oleh salah seorang ibu bapa rakan sekelas Mika bahawa anaknya sering dipaksa untuk memberikan wang kepada mereka.

“Masa isteri jaga Mika di hospital, salah seorang ibu bapa kawan anak saya datang melawat. Ibunya tunjuk video rakan sekelas beritahu budak-budak (pembuli) suka minta duit Mika.

“Kalau Mika tak bagi, mereka akan rosakkan barang-barang milik Mika. Barulah saya teringat semula, sebelum ini Mika selalu minta RM10, RM20 cakap nak belanja kawan-kawan.

“Jadi, saya pun ingat anak saya baik hati sebab suka belanja kawan-kawan,” tulisnya lagi.

Bercerita lanjut, Ako turut berkongsi bahawa setiap kali anaknya pulang dari sekolah, dia mahu membeli gula-gula dan keropok untuk kawan-kawannya.

“Setiap hari balik dari sekolah, Mika akan minta saya singgah kedai serbaneka untuk beli gula-gula dan keropok untuk kawan-kawan.

“Saya layankan sahaja permintaan Mika dari awal tahun. Rupanya selama ini Mika kena ‘pau’. Budak-budak sekarang apa nak jadi. Kalau budak sekolah menengah, saya faham. Ini baru 10 tahun,” kongsinya.

Bercerita lanjut mengenai keadaan fizikal Mika, Ako berkata, kesan tapak kasut dan bengkak pada bahagian perut anaknya sudah hilang, namun maih terdapat kesan lebam di bahagian belakang pinggang.

Segala bukti kecederaan termasuk gambar dan video dirakam oleh isterinya serta pihak doktor untuk tindakan lanjut.

Baru-baru ini, Ako yang menghadiri sesi pertemuan bersama pihak sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) dan polis memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan anaknya.

Terdahulu, Ako menerusi hantaran di Threads memaklumkan kejadian itu membabitkan lima murid, termasuk dua murid senior dan tiga rakan sekelas.

Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top