Cik Bunga memang terkejut besar bila terdengar cerita tentang seorang selebriti wanita yang kini sedang sarat hamil, tetapi masih lagi dikatakan aktif berkunjung ke kelab malam. Bukan sekali dua dengar bisik-bisik, kali ini memang ada mata yang nampak sendiri kelibatnya di sana.
Memanglah, kata sumber, dia hadir bersama suami tercinta dan bukannya bersendirian. Namun, tetap juga timbul persoalan dalam kalangan orang ramai, elokkah wanita yang sedang berbadan dua berada di tempat sebegitu?
Bukan hendak menghukum, tetapi risau juga memikirkan keadaan bayi dalam kandungan.
Cik Bunga sangka, selepas bergelar isteri dan kini bakal bergelar ibu, selebriti ini sudah pun meninggalkan tabiat lamanya yang cukup sinonim dengan dunia hiburan malam. Rupa-rupanya, sangkaan itu meleset sama sekali.
Ada juga yang berseloroh, jangan-jangan ini alasan mengidam pula? Mengidam suasana kelab malam agaknya? Aduhai, macam-macam perangai artis sekarang. Kalau benar begitu, memang susah hendak buang tabiat lama.
Lebih mengejutkan, golongan yang memang kaki kelab malam pun dikatakan terkejut melihat kehadirannya. Mereka sendiri tidak menyangka selebriti ini masih sanggup keluar menikmati suasana begitu walaupun kandungan sudah semakin besar.
Tentang sama ada dia minum arak atau tidak, yang itu Cik Bunga tidak berani hendak ulas panjang. Biarlah itu menjadi urusan dirinya dengan Allah. Cuma, sebagai figura awam yang sering menjadi perhatian, setiap gerak-geri pasti akan diperhatikan.
Apa pun, Cik Bunga harap selebriti ini lebih menjaga diri dan kandungannya. Seronok itu boleh dicari, tetapi keselamatan dan kesihatan anak dalam perut pastinya jauh lebih utama.




