Memasuki alam universiti antara satu titik perubahan penting dalam kehidupan seorang pelajar. Universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah, bahkan medan pembentukan pemikiran, keperibadian, kematangan dan jati diri. Bagi seorang Muslim, perjalanan ke universiti sewajarnya dilihat dalam kerangka yang lebih luas, iaitu sebahagian daripada perjalanan menuntut ilmu yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam.
Wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW dimulakan dengan perintah membaca, sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.” (Surah al-Alaq ayat 1–3)
Perintah ini memberikan asas penting bahawa pembinaan tamadun Islam bermula dengan ilmu. Namun, ilmu tidak diperoleh dengan keinginan semata-mata. Ia memerlukan masa, kesungguhan, disiplin, kesabaran dan pengorbanan. Dalam konteks mahasiswa, tempoh tiga atau empat tahun di universiti bukanlah masa yang panjang jika dibandingkan dengan perjalanan para ulama terdahulu yang menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka untuk mencari, mempelajari, mencatat dan menyebarkan ilmu.
Perjalanan Nabi Musa AS untuk menemui al-Khidir memberikan gambaran yang sangat indah tentang kesungguhan mencari ilmu. Setelah melalui perjalanan, Nabi Musa AS berkata: “Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarkan kepadaku sebahagian daripada ilmu yang telah diajarkan kepadamu sebagai petunjuk?” (Surah al-Kahfi ayat 66)
Ayat ini bukan sahaja menggambarkan keinginan mendapatkan ilmu, tetapi turut memperlihatkan adab seorang penuntut ilmu terhadap gurunya. Para mufasir seperti al-Tabari dan al-Qurtubi menjelaskan bahawa ungkapan Nabi Musa AS memperlihatkan kelembutan, kerendahan hati dan kesediaan untuk mengikuti seorang guru demi mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Maka, mahasiswa yang memasuki universiti perlu membawa bersama sikap tawaduk, kesediaan menerima bimbingan dan kesanggupan belajar daripada mereka yang mempunyai kepakaran.
Rasulullah SAW turut menjelaskan kelebihan perjalanan menuntut ilmu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya dengan sebab itu jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pengertian ‘jalan’ dalam hadis ini sangat luas. Ia merangkumi perjalanan fizikal menuju tempat pengajian dan usaha intelektual untuk memperoleh pengetahuan. Dalam konteks mahasiswa hari ini, perjalanan dari kampung halaman menuju universiti, menghadiri kuliah, membaca buku, melakukan penyelidikan, berdiskusi dengan pensyarah dan menghabiskan masa menyiapkan tugasan sebahagian perjalanan ilmu apabila dilakukan dengan niat yang benar.
Tradisi ulama salaf menunjukkan bahawa perjalanan jauh sebahagian daripada budaya keilmuan Islam. Mereka tidak menunggu ilmu datang kepada mereka, sebaliknya mencari guru dan sumber ilmu walaupun terpaksa merentasi negeri. Imam al-Bukhari, misalnya, mengembara ke pusat ilmu seperti Makkah, Madinah, Baghdad, Basrah, Kufah, Syam dan Mesir untuk bertemu ahli hadis.
Semangat tersebut dirumuskan dengan sangat baik melalui kata-kata Yahya bin Abi Kathir, seorang ulama daripada kalangan tabiin yang bermaksud: “Ilmu tidak akan dapat diperoleh dengan kerehatan tubuh.” Kata-kata ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim.
Prinsip ini sangat relevan kepada mahasiswa. Kehidupan universiti tidak boleh dibina atas budaya mencari keselesaan semata-mata. Ada waktunya mahasiswa perlu mengurangkan masa hiburan untuk membaca, bangun lebih awal untuk mengulang kaji, tinggal di perpustakaan lebih lama, menyiapkan tugasan dalam tekanan masa dan belajar mengurus kehidupan tanpa bantuan keluarga seperti sebelumnya.
Berjauhan daripada ibu bapa dan keluarga juga mempunyai nilai pendidikan yang besar.
Namun, pengorbanan menuntut ilmu hendaklah dibina atas niat yang benar. Ilmu dalam perspektif Ahli Sunah Waljamaah tidak sepatutnya membawa seseorang kepada kesombongan. Oleh itu, persediaan memasuki universiti tidak sewajarnya terbatas kepada membeli pakaian, komputer riba, buku atau menyediakan keperluan asrama. Persediaan yang lebih penting ialah menyediakan mental untuk menghadapi kesukaran, hati untuk menerima teguran, jiwa untuk hidup berdikari dan disiplin untuk mengurus masa. Pelajar juga perlu memasuki universiti dengan tujuan yang jelas: datang untuk belajar, membina kepakaran, membentuk akhlak dan mempersiapkan diri untuk memberikan manfaat kepada masyarakat.
Ibu bapa yang melepaskan anak pergi menuntut ilmu turut melakukan satu pengorbanan. Di sebalik kegembiraan melihat anak memasuki universiti, tersimpan kerinduan dan kebimbangan. Justeru, kejayaan seseorang mahasiswa sebenarnya tidak dibina oleh dirinya seorang. Di belakangnya terdapat doa ibu bapa, pengorbanan keluarga, bimbingan guru dan peluang yang disediakan oleh masyarakat.
Ulama terdahulu menunjukkan ilmu mempunyai harga, dan antara harganya ialah masa, tenaga, kesabaran serta pengorbanan. Jika perjalanan itu dimulakan dengan niat kerana Allah, diteruskan dengan adab dan kesungguhan, maka setiap langkah menuju ilmu mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar memperoleh segulung ijazah.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




